Jika anda rasakan tawaran Unifi yang membolehkan anda memuat turun fail atau video pada kadar kelajuan 20Mbps sudah terpantas yang dapat anda nikmati, anda semestinya akan gembira dengan pengumuman U Mobile pagi tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile Sdn Bhd, Dr Kaizad Heerjee mendedahkan mereka dalam perancangan untuk melancarkan Rangkaian Jalur Lebar 42 Mbps!
Perkhidmatan yang dikatakan mampu mencapai sambungan pada kadar kelajuan 42 Mb per saat merupakan sambungan jalur lebar terpantas yang pertama ditawarkan di Malaysia.
Menggunakan Dwi-Sel HSPA+ (High Speed Packet Access), perkhidmatan baru U Mobile ini membolehkan jaringan menghantar dan menerima data dalam talian menggunakan dua rangkaian serentak bagi mencapai kelajuan maksima 42Mbps.
Lokasi pertama untuk menawarkan perkhidmatan ini ialah Berjaya Times Square. Ini diikuti kawasan Lembah Klang, bermula dengan Subang Jaya dan Sunway, disusuli Pulau Pinang dan Johor menjelang akhir tahun ini.
Perkhidmatan ini akan mula ditawarkan kepada para pengguna bermula minggu depan pada kos yang dikatakan mampu dibiayai majoriti pengguna.
Acara pagi tadi telah disaksikan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim dan pengerusi U Mobile Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun.





armansya | added 2010-11-16 16:03:43