EPSON, jenama peralatan teknologi terkemuka dunia baru-baru ini telah menandatangani satu perjanjian penajaan global sebagai Pembekal Rasmi Alatan Pejabat kepada kelab bola sepak paling berpengaruh di dunia iaitu Manchester United (MU).
Perjanjian yang berkuatkuasa serta merta itu menjadikan EPSON sebagai salah satu pengeluar pencetak, projektor dan pengimbas terkemuka di dunia yang membekalkan pasukan MU dengan peralatan lengkap di Old Trafford.
Usahasama ini memperlihatkan EPSON mengaitkan jenamanya dengan kelab kelas dunia ini sekaligus meningkatkan nama jenama itu di Eropah dan di seluruh dunia.
Majlis menandatangani perjanjian itu yang diadakan pada 26 November lalu telah berlangsung di Old Trafford sebelum perlawanan antara MU dan Blackburn Rovers berlangsung.

Antara yang hadir ialah pengurus kelab bolasepak terkemuka, Sir Alex Ferguson, Ketua Pegawai Eksekutif EPSON, David Gill dan seluruh skuad utama pasukan bolasepak tersebut.
Menurut Presiden EPSON Global, Minoru Usui, “Kerjasama antara MU dengan jenama menarik dan diakui secara global ini, sekaligus membawa Epson lebih dekat dengan pelanggan di seluruh dunia. Kedua-dua jenama ini berkongsi komitmen dalam mencapai standard tertinggi untuk terus menerajui kreativiti dan inovasi.
“Visi kami adalah untuk menarik serta mengilhamkan pelanggan yang diwakili oleh kejayaan MU bersama keunikan pencetak dan teknologi projektor Epson yang telah dikenali,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran tersebut.
Epson turut mengharapkan perjanjian yang dimeterai akan dapat membawa jenamanya lebih dekat dengan pelanggan. Epson percaya, dengan memberikan sesuatu pulangan kepada masyarakat, akan mewujudkan satu sinergi dengan pasukan MU, yang turut mempunyai semangat komuniti dan terkenal, kerjasama ini mampu menembusi program komuniti tempatan.
Ketua Pegawai Operasi MU, David Gill berkata, “Kami ternyata gembira apabila Epson telah menjadi rakan kongsi komersial kami dan berharap dapat mengembangkan lagi program komunikasi yang dapat membantu kami dalam mencapai matlamat perniagaan bersama. Bagi kami, Epson merupakan syarikat global luar biasa yang nampak sempurna sebagai rakan kongsi kami.”
Perjanjian ini telah diumumkan kepada peminat ketika waktu rehat selepas separuh masa pertama perlawanan menentang Blackburn Rovers yang berlangsung pada Sabtu lalu (27 November).
Pada masa yang sama, Epson Malaysia akan menyokong tajaan ini dengan membolehkan pelanggan Epson dan peminat Manchester United di Malaysia untuk mendapatkan faedah daripada beberapa peluang besar yang bakal diumumkan nanti.




