Berbuka Sambil Menderma Di Nilai Springs

14 Aug 2010, 12:56am   |     |    Utama > GAYA HIDUP > MAKAN >
Kongsi Article Ini:

Sesuai dengan semangat Ramadhan, Nilai Springs Resort Hotel mengajak anda berbuka sambil beramal.

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, setiap insan digalakkan untuk meningkatkan amalan kebajikan masing-masing. Bukan sahaja amalan peribadi, malah tanggungjawab sosial buat golongan yang tidak bernasib baik juga perlu dititikberatkan.

Bagi menunaikan tuntutan tersebut, Nilai Springs Resort Hotel telah memperkenalkan bufet Ramadhan yang bukan sahaja enak untuk dinikmati tetapi dalam masa yang sama, pengunjung yang datang ke situ secara tidak langsung dapat bersama-sama meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.

Caranya dengan setiap pembelian pakej bufet Ramadhan bagi golongan dewasa iaitu RM45.00++, RM1 akan didermakan kepada Rumah Anak-Anak Yatim/Miskin Taman Baiduri.

"Dengan cara ini, secara tidak langsung kita dapat bersama-sama membantu mereka meringankan beban yang mereka tanggung. Ini merupakan antara tanggungjawab sosial yang kami lakukan dan dalam masa yang sama mahu memupuk nilai kasih sayang dan saling prihatin kepada generasi kini.

"Mungkin bagi sesetengah orang RM1 yang disumbangkan hanyalah jumlah yang kecil tetapi bagi mereka yang sememangnya memerlukan, ianya sangat bermakna," ujar Pengrus Besar Nilai Springs Resort Hotel, GK How.

Bercerita mengenai bufet Ramadhan yang disajikan di Spring Cafe, beliau memberitahu ianya bertemakan 'Sajian Nilai, Citarasa Malaysia' yang pastinya mampu memberikan kepuasan kepada pengunjung.

"Dengan pelbagai pilihan makanan yang disediakan, kami yakin pengunjung tidak akan berasa rugi. Selain kepelbagaian menu, lokasi kami yang mudah untuk diakses serta tidak terlibat dengan kesesakan jalanraya menjadikan kami sebagai lokasi terbaik untuk berbuka puasa," katanya.

Antara menu istimewa yang dihidangkan ialah 'gulai kawah' yang sukar untuk didapati di tempat-tempat lain iaitu Tulang Lembu Masak Lemak dan Perut Lembu Bernangka. Bagi mereka yang sudah tidak sabar untuk menyambut hari lebaran, ketupat, lemang berserta dengan rendang dan serunding turut disediakan.

Namun pilihan pelbagai jenis nasi yang lazat pasti membuat pengunjung 'pening' untuk memilih. Antara menu nasi yang disediakan ialah Nasi Putih Mewangi, Nasi Minyak Kismis, Nasi Briyani Maharani, Nasi Goreng Kampung Jiboi, Nasi Kuning Pasir Mas, Nasi Halia Muda dan Nasi Daging Berempah.

Pilihan lauk-pauk yang ada pula termasuklah Sotong Sambal Petai, Ayam Goreng Berempah, Tenggiri Asam Pedas Buah Plum, Pindang Ikan Merah Kuala Linggi, Kari Kepala Ikan Chowrasta, Tauhu Tempe Sambal Jawa dan Paceri Nenas.

Harga pakej yang dikenakan pula ialah RM45.00++ untuk dewasa dan RM31.50++ untuk golongan kanak-kanak.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)