Menjamu Selera Sambil Berhibur Dengan Artis Veteran
Hotel Carlton Holiday Shah Alam mengajak anda berbuka sambil berhibur dengan artis-artis veteran.
Dewasa ini walaupun industri seni kita meriah dengan kehadiran penyanyi-penyanyi baru yang berbakat besar, namun kewujudan para penghibur nostalgia yang pernah popular suatu ketika dahulu tidak dipinggirkan.
Bakat mereka diakui dan sehingga kini terus dihargai. Buat para peminat yang merindui kelibat mereka, anda dijemput ke Hotel Carlton Holiday, Shah Alam di sepanjang bulan Ramadhan ini kerana ramai artis-artis veteran yang bakal menghiburkan anda sambil anda menikmati juadah berbuka puasa.
Antara selebriti yang terlibat ialah Datuk M. Daud Kilau, Dahlan Zainuddin, Hail Amir, Halil Chik, Herman Tino, A. Razak Ismail dan Haris Abdul. Tidak ketinggalan juga Siti Fairuz, Rohana Jalil, Salwa Abdul Rahman, Zur Eda, Leina Hangat, Effa Rizan dan Khaty Azian.
Selain daripada artis-artis veteran, artis-artis muda dan yang masih aktif dalam dunia seni hari ini turut hadir memberikan sokongan, antaranya Fazli Zainal, Musli Ramli, Azizul Khamis, Imuda dan Ali Mamak.
Pengarah Promosi Masa Entertainment & Production, Mas Omar yang bertanggungjawab membawa kesemua selebriti veteran itu memberitahu, majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh pihak Hotel Carlton Holiday pastinya lebih bermakna dengan kehadiran ramai artis-artis senior yang sudah lama tidak muncul di televisyen.
"Selain menjamu selesa, mereka akan menghiburkan para pengunjung yang hadir. Saya percaya mereka masih mempunyai ramai peminat. Apatah lagi terdapat sebahagian daripada mereka yang masih aktif dan ada juga lagu-lagu nyanyian mereka masih diputarkan di radio," katanya.
Sementara itu, pihak Hotel Carlton Holiday akan menyediakan bufet Ramadhan yang berkonsepkan Ramadhan Nostalgia Klasik. Pihak hotel menawarkan 100 jenis makanan citarasa ramai setiap hari.
Antara sajian istimewa yang dihidangkan ialah Ikan Bakar Terubok Portugis, Ayam Percik Cik Mek Molek, Roti Canai Durian Utara, Roti Jala, Kambing Bakar Mentakap dan Ayam Chap Chai Banda Hilir.
Tidak ketinggalan pelbagai jenis nasi turut disediakan antaranya, Nasi Tomato Andalusia, Nasi Beriani Haji Majidi, Nasi Lemak Halba, Nasi Daging Kemaman, Nasi Putih Air Tangan Mak dan Nasi Goreng Desa.
Untuk menikmati kesemua juadah lazat ini, para pelanggan hanya perlu membayar RM49 (dewasa), RM32 (warga emas, 60 tahun ke atas) dan RM25 (kanak-kanak) seorang.
Buat keselesaan para pelanggan berbuka juga, pihak hotel menawarkan bilik hotel untuk disewa dengan kadar harga RM50 sebilik bermula pada jam 5 petang hingga 10 malam.
Manakala mana-mana pihak yang mahu mengadakan majlis berbuka untuk anak yatim, harga pakej yang ditawarkan ialah RM45 setiap seorang. Antara kemudahan yang disediakan pihak hotel ialah dewan, PA sistem, 'backdrop' dan menu sajian Ramadhan.


