Nikmati Rasa Nusantara Di Westside Bistro
Di Westside Bistro, pengunjung boleh merasai pelbagai masakan Melayu dari Sumatera, Jawa, Lampung, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Brunei.
Sempena bulan Ramadhan, Westside Bistro di Shah Alam Convention Centre (SACC) telah melancarkan satu konsep baru bagi bufet Ramadhan yang disediakan.
Konsep yang diberi nama Rasa Nusantara itu mengandungi beberapa pakej untuk setiap menu yang dihidangkan. Apa yang istimewa, setiap hidangan menu yang disaji berbeza setiap hari sepanjang bulan Ramadhan ini.
Menepati konsep Rasa Nusantara, Westside Bistro akan membentangkan resipi asli tradisional 'Hidangan Nusantara' dari Kepulauan Melayu atau lebih dikenali sebagai 'Rumpun Melayu'.
"Konsep ini dipilih kerana mahu memberi peluang kepada masyarakat merasai masakan Melayu yang bukan sahaja berasal dari negara kita Malaysia, malah masakan tradisional yang berasal dari rantau Sumatera, Jawa, Lampung, Selatan Thailand, Selatan Filipina dan Brunei.
"Ini kerana kita semua masih lagi dalam rumpun Melayu dan kebanyakan masakan ini menepati citarasa masyarakat kita," ujar pengerusi Siera Management Sdn. Bhd., Datuk Muhammad Adan ketika ditemui di majlis memperkenalkan bufet Ramadhan, Rasa Nusantara di SACC.
Tambahnya, Westside Bistro membawa kelainan sepenuhnya dari segi juadah dan persekitaran berbanding Ramadhan tahun lepas. Katanya pelanggan yang hadir akan dapat merasakan hidangan berbuka puasa ala kampung dan seperti berada di rumah sendiri.
"Konsep berbuka pada kali ini adalah lebih santai kerana kami mahu memberi keselesaan kepada pengunjung. Selain menimati hidangan yang lazat, kami juga memberikan hiburan dengan menyediakan kumpulan ghazal bagi menemani pengunjung yang berbuka di sini.
"Bagi badan-badan korporat yang mahu mengadakan majlis berbuka puasa di sini juga kami amat mengalu-alukan. Malah kami akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh mereka dengan pakej harga yang boleh dirundingkan," katanya.
Tambah menarik apabila Westside Bistro turut menyediakan 10 buah gerai yang menyediakan pelbagai menu untuk para pelanggan yang datang tetapi tidak mahu berbuka di situ.
"Ada juga pelanggan yang mahu berbuka di rumah kerana ianya lebih menjimatkan. Sebab bagi mereka yang berkeluarga, kos yang diperlukan agak besar.
"Memahami keadaan golongan ini, kami mengambil inisiatif menyediakan 10 buah gerai di mana mereka boleh datang dan membeli juadah berbuka yang mereka gemari. Hanya 10 gerai disediakan kerana kami mahu menjaga kualiti hidangan yang disediakan," jelasnya.
Kepada para pelanggan yang berminat, mereka boleh membuat tempahan pada harga serendah RM48++ bagi dewasa dan RM30++ bagi golongan kanak-kanak berumur diantara enam hingga 10 tahun.
Untuk keterangan lanjut dan membuat tempahan, para pelanggan boleh melayari laman web www.sacconventioncentre.com/promotions.htm.


