Puas Makan Di Restoran Amethyst Ayam Kampung

26 Aug 2010, 02:49am   |   Miss Ayu  |    Utama > GAYA HIDUP > MAKAN >
Puas Makan Di Restoran Amethyst Ayam Kampung
Kongsi Article Ini:

Buat mereka yang gemarkan masakan Thai, Restoran Amethyst Ayam Kampung mesti dicuba.

Setelah lebih dua minggu berpuasa, pasti sudah banyak lokasi selera yang telah anda kunjungi untuk berbuka. Hari ini agak-agaknya ke mana pula? Bagi yang menggemari masakan Thai, GUA ingin cadangkan anda ke Restoran Amethyst Ayam Kampung yang terletak di Glomac Business Centre, Kelana Jaya.

Restoran yang mula beroperasi pada bulan Februari lalu ini menyediakan pelbagai masakan Thai yang membangkitkan selera. Jika dilihat secara luaran, memang restoran ini nampak biasa sahaja kerana dekorasinya yang sederhana, tetapi percayalah, anda pasti puas hati dengan makanan yang dihidangkan.

Untuk pengetahuan anda, restoran ini diusahakan oleh seorang anak muda yang baru berusia 22 tahun iaitu Mohamad Syahin Mohd Fuad, dan dia merupakan anak didik kepada chef selebriti, Chef Zam. Dalam usia yang masih muda, Syahin boleh berbangga kerana restorannya itu semakin dikenali oleh kejiranan Kelana Jaya. Malah, ramai juga yang sudah menjadi pelanggan setia.

Menurut Syahin, restorannya itu agak berbeza dengan restoran masakan Thai yang lain kerana ada di antara menu yang disediakan amat jarang ditemui di tempat lain.

“Salah satu hidangan istimewa di sini dan sering menjadi pilihan pelanggan ialah Kerabu Kangkung. Menu istimewa ini memang lazat kerana kangkungnya digoreng ranggup serta mempunyai rasa masam, manis dan pedas. Selain itu, kita juga ada Kerabu Peladuktu yang dibuat daripada isi ikan keli yang dihancurkan dan digoreng dengan tepung. Rasanya cukup ranggup dan ‘topping’-nya adalah campuran buah mangga,” ujar Syahin.

Sesuai dengan namanya, restoran ini turut menghidangkan masakan ayam kampung untuk mereka yang menggemarinya. Bagaimanapun, tempahan awal diperlukan bagi memudahkan pihak restoran mendapatkan bekalan dari Kampung Baru, Kuala Lumpur. 

Bercerita lanjut tentang makanan di sini, GUA difahamkan terdapat lebih 20 jenis masakan kerabu yang boleh dicuba. Selain Kerabu Kangkung dan Kerabu Peladuktu, anda juga boleh memesan satu lagi kerabu istimewa iaitu Kerabu Samkrob yang merupakan campuran ayam, sotong dan udang. Rasanya yang pedas dan masam pasti membuatkan anda terus berselera. Jika alah pada makanan laut, bolehlah memesan Kerabu Telur Mata, Kerabu Maggie, Kerabu Ikan Bilis, Kerabu Cendawan atau Kerabu Suhoon.

Kalau sudah memilih menu masakan Thai untuk berbuka puasa, jangan sesekali lupa memesan hidangan Tomyam. Supnya yang pekat memang menambat selera. Mesti tidak cukup semangkuk dibuatnya. Maklumlah ia disediakan oleh tukang masak yang dibawa khas dari Bangkok. Ini juga sebabnya masakan Thai di sini semuanya menjadi!

Satu lagi perkara yang menarik perhatian GUA ialah cara nasi putih dihidangkan di sini. Cukup comel kerana dipersembahkan dalam bentuk ‘teddy bear’. Rasa sayang pula hendak dijamah.

Jadi, tunggu apa lagi? Silalah ke restoran ini bersama keluarga mahupun rakan-rakan. Jangan risau tentang harga makanan di sini. Semuanya berpatutan dan memberi nilai kepada wang anda. Untuk tempahan dan keterangan lanjut, anda boleh menghubungi talian 012-3604435 (Syahin), 016-3126515 (Syahril) dan 012-2837937 (Fuad).

Pada hari-hari biasa, restoran ini turut menyediakan hidangan nasi campur pada waktu makan tengahari. Terdapat lebih 20 jenis lauk-pauk yang boleh dipilih dan yang paling popular ialah Masak Lemak Cili Padi.