Sajian Istimewa Di Geng’s Corner
Hidangan di Geng’s Corner bukan saja dijamin sedap tetapi harganya juga berpatutan.
Masih mencari lokasi di mana untuk berbuka puasa bersama keluarga? Apa kata anda bawa mereka ke Restoran Geng’s Corner yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
Geng’s Corner merupakan restoran di bawah syarikat Les Copaque, produksi yang menerbitkan siri animasi 'Upin dan Ipin' dan filem animasi 'Geng: Pengembaraan Bermula'.
Mempunyai ruangan yang luas dan mampu menempatkan sekitar 120 orang pada satu masa, Geng’s Corner turut menyediakan kemudahan wi-fi, dekorasi yang unik serta suasana yang santai.
Antara tarikan utama di Geng’s Corner ialah juadah yang disediakannya telah dinamakan bersempena dengan karektor yang terdapat dalam 'Upin dan Ipin'.
Sempena bulan Ramadhan, Geng’s Corner menyediakan satu mini bazar di luar restorannya, menempatkan beberapa buah gerai makanan dengan pelbagai pilihan menu.
GUA sarankan supaya mencuba tiga minuman istimewa yang terdapat di Geng’s Corner iaitu Jus Upin, Jus Ipin dan Jus Kak Ros. Nak tahu bagaimana rasanya, anda kenalah datang sendiri untuk mencuba. GUA gerenti sekali minum, pasti anda hendak lagi!
Selain menawarkan minuman istimewa, Geng’s Corner menyajikan pelbagai menu menarik antaranya, Gulai Kawah Opah, Gulai Ikan Kering Tok Dalang, Keli Berlada Lim, Nangka Masak Lemak Kak Ros, Dalca Daging Tetel Mydin Baik Punya, Daging Beriani Atok Ranggi, Ayam Percik Ipin dan Ikan Percik Kak Ros.
Hidangan lain yang turut disediakan ialah Asam Pedas, Ikan Bakar Utara, Rendang Daging Atok, Nasi Ayam Upin Ipin, Line Clear Penang Char Kuey Teow dan aneka menu masakan Thai.
Ketika berbuka puasa di Geng’s Corner, anda harus mencuba menu paling istimewa di restoran ini iaitu tom yam. Rasanya memang lain dari yang lain kerana diperbuat dari air rebusan udang dan daging.
Geng’s Corner turut menyediakan pelbagai jenis pencuci mulut seperti bubur pulut hitam, bubur cacar, bubur kacang hijau, pengat pisang, aneka kuih muih dan buah-buahan segar.
“Selain menawarkan makanan yang enak, kami di Geng’s Corner sentiasa menawarkan harga yang berpatutan serta perkhidmatan yang cekap kepada pelanggan restoran kami. Saya berani gerenti, makanan di sini memang sedap,” ujar Chef Faidz Khusainy yang mempunyai pengalaman memasak lebih dari 18 tahun.
Pelanggan juga boleh memesan menu yang didatangkan dalam bentuk set. Anda mempunyai pelbagai pilihan set sama ada untuk 1-2 orang, 3-4 orang, 5-6 orang dan 7-8 orang yang pasti lebih jimat dan berbaloi.
Sempena bulan Ramadhan, Geng’s Corner dibuka dari jam 4 petang hingga 12 tengah malam. Geng’s Corner terletak di No. 2, Jalan Boling Padang G13/G, Seksyen 13, Shah Alam berdekatan dengan Tesco Extra. Untuk tempahan, anda boleh hubungi talian 03-55120676.



