Smokehouse – Sekali Cuba Mesti Nak Lagi
Buat mereka yang gemarkan makanan tradisional Inggeris, dihidangkan dalam suasana ala-ala Inggeris, The Smokehouse antara destinasi yang mesti dikunjungi.
Dan anda tidak perlu memandu sejauh Cameron Highlands ataupun Fraser’s Hill untuk menikmati hidangan mereka yang sememangnya dikenali di kalangan penggemar makanan.
Rupa-rupanya, Smokehouse mempunyai sebuah cawangan di KL yang ditubuhkan lapan tahun lalu. Tetapi sejak tahun lepas, restoran itu telah berpindah dari Jalan Yap Kwan Seng ke Jalan Telawi 3, Bangsar Baru.
Baru-baru ini, GUA menerima pelawaan dari pengurus cawangan KL-nya, Dennis untuk mencuba menu mereka yang telah dikembangkan untuk merangkumi juga masakan Thai.
Untuk ‘appetiser’, kami disajikan dengan ‘Mieng Kam’ (RM15) yang merupakan hidangan pembuka selera tradisi Thai. Kacang, cili, udang kering dan kerisik dibalut dalam daun gado dan dimakan bersama sos manis Thai. Satu hidangan yang menarik dan mampu membangkitkan selera makan.
Ini diikuti dengan Sup Cendawan (RM12) yang rata-rata mendapat pujian dari teman-teman GUA kerana supnya yang cukup pekat dengan cendawan yang telah dikisar.
Selepas dua hidangan pembuka selera yang cukup memuaskan itu, GUA tidak sabar hendak merasa hidangan utama. Kami amat bertuah kerana bukan saja dihidangkan dengan beberapa pilihan popular makanan Thai mereka tetapi Inggeris juga.
‘Pad Thai Kung Sod’ (RM15) iaitu mi beras yang digoreng dengan udang, taugeh dan telur cukup menyelerakan walaupun sedikit manis untuk GUA.
‘Gaeng Ped Pol Lychee’ (RM20) yang merupakan itik panggang di masak dengan kari merah dan laici, satu hidangan yang GUA mesti rekomenkan. Memang sedap dengan kari merahnya yang pekat dan daging itik panggang yang cukup empuk.
GUA juga syorkan ‘Pla Kao Sam Ros’ (berdasarkan harga pasaran) iaitu ikan goreng dengan sos cili. Hidangan ini mungkin kedengaran biasa saja tetapi anda perlu mencubanya terlebih dulu sebelum membuat keputusan. Kalau bukan kerana GUA hari tu berdiet, mungkin dah dua, tiga pinggan nasi yang dihabiskan dengan lauk ikan itu saja.
Dua hidangan tradisional Inggeris yang sempat kami cuba ‘Beef Wellington’ (RM48) dan ‘Chicken & Mushroom Pie’. Kedua-duanya sedap tak terkata, terutama pastrinya. Mengemukkan tapi GUA belasah je.
Jika anda bercadang untuk memesan ‘Beef Wellington’, diingatkan ia memerlukan masa 30 minit untuk dimasak. Tetapi percayalah, ia cukup berbaloi.
Sebagai pencuci mulut, kami berpeluang merasai ‘Bread & Butter Pudding’ (RM12) dan ‘Kao Neaw Mamoung’ (RM18) atau lebih dikenali sebagai 'mango and sticky rice'. Walaupun semua orang dah terlalu kenyang tetapi dihabiskan juga kedua-dua ‘dessert’ itu sebab sedap sangat.
Pendek kata, sekali dah cuba Smokehouse, mesti nak datang lagi.
The Smokehouse (terletak sebelah Chawan)
67 Jalan Telawi 3, Bangsar Baru, KL
Tel: 03-22881510



