Stik Mengghairahkan Di Las Vacas

27 Feb 2010, 04:18pm   |     |    Utama > GAYA HIDUP > MAKAN >
Kongsi Article Ini:

Pengumuman kepada semua penggemar stik satu Malaysia, gua dah jumpa satu kedai istimewa yang menyediakan stik daging lembu yang mengghairahkan.

Sebelum ada yang ragu-ragu, semua produk yang dibekalkan oleh kedai ini disahkan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pemiliknya juga ialah dua orang usahawan Melayu yang mengimpot daging-daging lembu halal segar dari Australia.

Diberi nama Las Vacas yang bermaksud The Cows atau lembu-lembu, kedai ini memang memberikan anda pilihan daging lembu yang pelbagai dan berkualiti.

Bukan senang memilih bahagian daging yang sesuai untuk jenis masakan atau citarasa seseorang. Perbezaan Las Vacas berbanding tempat pasaraya atau pasar basah lain ialah pemilik kedai ini beraspirasi untuk menyediakan servis secara peribadi di mana pelanggan boleh mendapatkan khidmat nasihat tukang potong (butcher) untuk memastikan daging yang dibeli mereka sesuai dengan apa yang mereka idamkan.

Daging untuk dimasak rendang berbeza dengan daging untuk dimasak sup atau satay. Bukan sahaja bahagian daging perlu tepat tetapi jenis potongannya juga harus betul untuk kesedapan yang maksimum. Wagyu, ribeye, striploin, sirloin dan sebagainya ditawarkan di sini dan cara memasaknya juga perlu betul supaya menepati citarasa pelanggan.

gua datang ke Las Vacas dengan satu tujuan dan satu tujuan sahaja. Untuk meratah stik tebal bersari yang menghairahkan. Pilihan gua ialah ribeye grain fed seberat 272gm dan kawan gua mencuba striploin premium sama berat. Harga ribeye lebih mahal berbanding striploin; rasa dan tekstur dagingnya menjelaskan perbezaan harga.

Hidangan stik dipadankan dengan salad ringkas dan roti ciabatta disapu mentega. Tiada sos lada hitam, bawang putih atau cendawan yang mengiringi hidangan stik di Las Vacas tetapi bagi gua kalau dah merasa stik lazat begini, sos tidak penting lagi. Namun di atas meja disediakan sos HP, A1 dan English hot mustard jika berminat.

Stik T-bone di sini saiznya menarik sekali bagi mereka yang berselera besar. Di kunjungan akan datang, gua sudah berazam untuk menempah stik Wagyu yang berharga RM50 setiap 100gm.

Minuman di Las Vacas juga harganya amat berpatutan. Teh seperti Earl Grey dijual pada harga RM3 dan boleh ditambah air panas. Kopi seperti Cappucino, flat white berharga RM6 secawan dan rasanya tidak kurang hebat. Air kosong hanya RM0.50 segelas. Untuk mereka yang tidak menggemari daging lembu tetapi menemani rakan ke sini, hidangan ikan seperti salmon dan kod juga ada, termasuk sosej ayam.

Untuk ke Las Vacas menggunakan LDP dari arah Puchong, lepas cable bridge, susur ke kiri dan teruskan memandu sehingga berjumpa lampu trafik di sebelah Western Digital, pastikan anda berada di lorong kiri. Ambil kanan dan pandu terus.

Selepas bangunan TM, ambil lorong kedua ke kiri berdekatan dengan padang. Las Vacas terletak di hujung kanan deretan kedai baris belakang. Kedai ini dibuka dari 8.30 pagi hingga 9 malam dan ditutup pada hari Isnin.

Disamping boleh menikmati hidangan di kedai ini, anda juga boleh mendapatkan bekalan daging segar yang berkualiti serta rempah ratus yang diperlukan untuk masakan daging lembu dari Las Vacas. Sila hubungi 03-78740711 untuk tempahan.

Google Ads
Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad