Teruja Nikmati Keenakan Cravings Kitchen & Bistro

21 Aug 2010, 11:33pm   |   Ashraf Abd Manaf  |    Utama > GAYA HIDUP > MAKAN >
Teruja Nikmati Keenakan Cravings Kitchen & Bistro
Kongsi Article Ini:

 

Pelbagai hidangan unik ditawarkan di Cravings Kitchen & Bistro buat mereka yang berani untuk mencuba.

Bagi mereka yang sudah jemu dengan juadah harian yang biasa dinikmati, apa kata kali ini anda ubah selera dengan merasai menu yang tidak kurang hebatnya di Cravings Kitchen & Bistro.

Terletak di Lot A-10, Sunway Giza Mall, Jalan PJU 5/14, Kota Damansara, Petaling Jaya, restoran ini tidak akan mengecewakan anda. Dengan deretan menu yang disukai ramai, anda pasti rambang mata dibuatnya.

Bagi mereka yang tidak boleh meninggalkan hidangan nasi di dalam diet seharian, Delhi Fried Rice pasti akan membuatkan anda 'ketagih' dengan kenikmatannya. Dihidangkan bersama sambal serta udang segar yang digoreng rangup, hirisan ayam yang turut dimasukkan di dalam nasi tersebut membuatkan anda tidak perlu memesan hidangan lain sebagai pelengkap.

Buat mereka yang mahukan kelainan, apa kata mencuba Halloween Dinner yang bukan sahaja unik tetapi telah terbukti kelazatannya. Nasi yang dimasak di dalam labu yang telah dikukus itu sememangnya lazat dan mengasyikkan.

Sesiapa yang merasai hidangan ini untuk kali pertamanya, pasti akan merindui keunikan rasa asli serta keharuman labu tersebut. Hidangan ini agak besar dan boleh dimakan untuk dua atau tiga orang, bergantung kepada citarasa masing-masing.

Sebagai pelengkap menu, anda boleh mencuba Chicken Treasure yang sedap. Ayam tanpa tulang ini dihidangkan bersama sayur-sayuran segar, sosej goreng serta sos yang lazat.

Untuk mereka yang gemar makanan berasaskan mee, jangan risau kerana menu pilihan mee juga tidak kurang hebatnya. Antara yang paling popular, Slice Fish Noodles dan Si Chuan Noodles. Kedua-dua mee ini kurang pedas dan boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja termasuklah golongan kanak-kanak.

Walau bagaimanapun, menu yang paling unik di restoran ini ialah Monster Burger. Seperti namanya, saiz burger ini memang luar biasa besarnya dan ianya setinggi 12 inci. Bagi penggemar burger, inilah masanya untuk mereka menguji selera mereka.

Selain pelbagai pilihan makanan, menu minuman yang terdapat di Cravings Kitchen & Bistro ini juga tidak kurang hebatnya. Jika anda berpeluang berkunjung ke sini, anda disyorkan mencuba Lime Passion Fruit Tea, Banana Wildberry Tea, Lychee Lemonade atau Granny Smith Wildberry.

Kesemua minuman ini mempunyai rasa yang unik dan mampu menyegarkan sesiapa sahaja yang menikmatinya.

 






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad