AJL26 - Jac Tidak Rasa Dia Hampakan Peminat
“Saya tidak rasa yang saya telah mengecewakan peminat lagu ‘Sedetik Lebih’. Saya telah cuba menjalankan tanggungjawab saya dengan sehabis baik. Setakat yang saya boleh dengar tadi (malam AJL26), saya tidak melakukan sebarang kesilapan. Tetapi sudah adat pertandingan. Ada menang, ada yang kalah.
Untuk pertandingan sebegini, kita memang tidak boleh jangka lagu mana yang akan menang. Ini kerana saingan sangat sengit. Rasanya peminat pun sudah tahu persembahan pada malam ini hanya mewakili sebahagian markah. Markah selebihnya sudah diberikan pada peringkat penjurian awal. Sebagai penyanyi, saya sudah cuba buat yang terbaik,” ujar Jacyln Victor ketika ditemui di sidang media AJL 26.
Berkongsi tentang perasaannya sebelum memulakan persembahan pada malam itu, Jac berterus-terang dia berasa cukup gugup kerana bimbang berlaku sebarang kesilapan.
“Disebabkan saya tahu lagu ini mempunyai pengaruh besar dan ramai yang berharap ia akan menang, sudah pasti saya berasa sangat gugup. Namun, saya cuba atasi masalah itu dan menyampaikan lagu itu dengan cara saya sendiri. Saya harap peminat puas hati dengan persembahan saya tadi,” ujar Jac.
Ditanya apakah pesanan Edry Abdul Halim kepadanya sebelum dia menaiki pentas, Jac memberitahu Edry hanya menyuruhnya buat yang terbaik. Tidak ada tekanan lain daripada komposer berbakat itu.
Mengulas tentang kemenangan ‘Beribu Sesalan’, Jac mengakui dia berasa cukup gembira dengan kemenangan itu. Jelas Jac, dia berpuas hati dengan keputusan juri itu walaupun hanya berada di tempat kedua.
“Saya tidak nafikan memang ramai yang mengharapkan lagu ini menjadi juara, tetapi meraih tempat kedua pun sudah memadai. Saya gembira kerana komposer lagu ini, Kevin Chin dan penulis liriknya, Tinta S akhirnya dapat mengukir kejayaan manis di pentas AJL. Saya, Ning dan Shila hanya mempersembahkan lagu ini dengan sebaik mungkin. Terima kasih kepada semua peminat yang menyokong kami,” ujar Jaclyn.
Untuk makluman, 3 Suara akan muncul dengan single terbaru berjudul ‘Suara Isi Hatimu’ dalam sedikit masa lagi. Jadi, sama-sama kita nantikannya. Adakah single ini mampu menyaingi kehebatan ‘Beribu Sesalan’?


