AJL26 Pertandingan Terakhir Faizal Tahir?
Walaupun memberikan persembahan hebat dengan membakar piano di pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-26 (AJL 26), malam tadi, namun penyanyi terkenal, Faizal Tahir tidak dapat mempertahankan anugerah Persembahan Terbaik yang dimenanginya tahun lepas apabila trofi tersebut dirangkul oleh Alyah menerusi persembahan lagunya, Kisah Hati.
Bagaimanapun, pelantun lagu Karma ini tidak pulang dengan tangan kosong apabila beliau berjaya meraih tempat ketiga di AJL 26 sekaligus melayakkan beliau membawa pulang trofi serta wang tunai berjumlah RM 12,000.
“Saya kalau buat apa-apa memang tak pernah sasarkan untuk menang kerana bagi saya, yang penting ialah saya nak buat yang terbaik untuk peminat. Bila menang tempat ketiga, saya memang tak sangka. Bagi saya ini satu bonus dan saya rasa lega sangat.
“Malah, secara jujur, ini lebih dari apa yang saya jangkakan. Saya memang terkejut kerana saya tidak sangka langsung akan menang pada AJL kali ini,” ujar Faizal ketika ditemui sejurus selesai AJL 26, di Stadium Putra Bukit Jalil, malam tadi.
Ketika ditemui, Faizal turut mengejutkan semua pihak apabila membuat keputusan untuk menarik diri dari menyertai mana-mana pertandingan lagi selepas ini. Bagi yang tidak tahu, ini merupakan tahun kelima berturut-turut Faizal menyertai pertandingan AJL.
“Keputusan ini saya dah buat sebelum lagu Karma lagi. Kalau diikutkan tahun ini saya dah tak nak terlibat dengan mana-mana pertandingan, tapi disebabkan menghormati pihak produksi AJL, saya buat juga. Buat masa sekarang, ini akan menjadi AJL saya yang terakhir. Keputusan ini muktamad untuk sekarang tapi mungkin bukan untuk selamanya.”
Ditanya apakah sebab beliau membuat keputusan sedemikian, Faizal memberitahu, “Saya berada dalam industri ini sebab saya memang cintakan muzik. Muzik memang cantik dan mempunyai elemen kehidupan. Tapi, umur saya dah 34 tahun dan saya ada empat orang anak.
“Saya rasa apa yang terbaik buat masa ini adalah untuk fokus terhadap keluarga. Bagi saya, biar muzik saya yang buat kerja dan bersuara. Selain itu, apa yang lebih utama sekarang ialah konsert solo saya. InsyaAllah, saya akan buat dalam hujung tahun ini,” ujar Faizal yang turut akan terlibat sebagai Mentor bagi musim keenam.


