Saya Memang Mahu Menang - Hafiz
“Tipu kalau saya kata saya tidak mahu menang. Sebaik layak ke AJL 26, saya memang berharap lagu íni mencipta kemenangan. Tetapi saya tidak jangka boleh menjadi juara. Bukan tidak yakin dengan kekuatan lagu ciptaan Datuk M.Nasir, tetapi kerana saingan pada malam ini cukup hebat. Mungkin sudah rezeki saya. Walau apa pun, saya bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini,” ujar Hafiz mengulas tentang kejuaraannya di pentas Anugerah Juara Lagu ke 26 (AJL26) malam tadi.
Jelas Hafiz dia membuat persediaan kira-kira sebulan setengah untuk AJL kali ini. Baginya, pentas AJL26 memberi tekanan yang lebih besar berbanding tahun lepas. Ini kerana selain mahu menang, dia juga mahu mempertahankan Anugerah Vokal Terbaik yang diraihnya pada tahun lalu.
“Oleh kerana tahun lepas saya menang Vokal Terbaik, jadi tahun ini saya memang mahu mempertahankannya. Untuk itu, saya berusaha bersungguh-sungguh untuk mempertingkatkan kemampuan vokal saya. Saya korbankan masa dengan menghadiri kelas vokal sebanyak tiga kali seminggu. Selain itu, saya juga banyak berlatih sendiri. Saya mahu berikan yang terbaik dan akhirnya saya mendapat kemenangan berganda. Syukur sangat-sangat. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan selama ini,” ujar Hafiz meluahkan kegembiraan.
Mengulas tentang persembahan dan penampilannya malam tadi, Hafiz memberitahu dia tidak kisah berpakaian tidak cantik untuk persembahannya itu kerana itu adalah kejutan yang diperkatakan sebelum ini. Menurut Hafiz, persembahannya itu adalah kesinambungan kepada muzik video ‘Awan Nano’.
“Apa yang dipentaskan tadi adalah untuk menghabiskan cerita muzik video ‘Awan Nano’. Saya memberi jawapan kepada peminat bahawa ayah saya tidak meninggal dunia. Tak kisahlah pakaian saya tidak cantik, asalkan persembahan itu meninggalkan kesan di hati peminat. Lebih menggembirakan, lagu ini dinobatkan sebagai juara. Mungkin ada yang tidak suka dengan konsep persembahan itu, tetapi idea itu datang daripada pihak pengurusan dan saya rasa ia bersesuaian,” ujar Hafiz.
Sementara itu, komposer ‘Awan Nano’, Datuk M.Nasir, menyifatkan AJL 26 membariskan lagu-lagu yang hebat sehingga sukar untuk beliau menjangkakan kemenangan.
“Apabila kita bertanding dalam AJL, pasti kita mahu menang. Tapi saya tidak sangka boleh menang malam ini. Lagu-lagu yang bertanding bagus-bagus. Jadi, saingan sangat sengit. Sebagai komposer, setiap kali saya buat lagu, saya memang mahu lagu itu sedap didengar. Tahap sedap itu mestilah melebihi daripada yang biasa. Bagaimanapun, saya tidak ada kuasa untuk menentukan sama ada sesebuah lagu itu semua orang akan suka atau tidak. Kemenangan malam ini adalah pilihan juri. Saya percaya dengan keputusan mereka dan gembira dengan kejayaan ini,” ujar M.Nasir.
‘Awan Nano’ berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM45,000 keseluruhannya. RM35,000 untuk gelaran juara dan RM10,000 lagi untuk Vokal Terbaik.


