Harith Iskander Bimbing Isteri Berpuasa

12 Aug 2010, 12:44pm   |   Nani  |    Utama > HIBURAN > BERITA ARTIS >
Harith Iskander Bimbing Isteri Berpuasa
Kongsi Article Ini:

Harith dan Jez teruja melalui Ramadhan pertama sebagai suami isteri.

“Kehidupan saya tenang selepas mendirikan rumahtangga.” Begitulah luahan hati pelakon, pelawak serta pengarah Harith Iskander Musa ketika membicarakan tentang kehidupan barunya bersama isteri tercinta, Jezamine Lim.

“Kalau dulu balik kerja ada kucing saja kat rumah, tapi sekarang dah ada isteri. Kehidupan saya kini lengkap dengan kehadiran Jez,” ujar Harith ketika ditemui baru-baru ini.

Umum mengetahui mahligai yang dibina atas dasar cinta sejak dua bulan lalu tidak mendapat restu dari keluarga isterinya. Namun, perkara ini tidak pernah menjadi penghalang buat mereka untuk hidup bahagia seperti pasangan lain.

“Kehidupan saya selepas berkahwin dengan Harith bahagia sangat. Walaupun keluarga saya tidak merestui perkahwinan kami, namun saya tetap gembira,” ujar Jez yang jelas terpancar kebahagiaan di wajahnya.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, sikap Harith yang begitu merendah diri membuatkannya jatuh cinta pada suaminya itu.

Respon negatif dari keluarga
Walaupun kehidupan mereka bahagia, namun jauh di sudut hati, pasangan ini masih mengharapkan restu dari keluarga Jez.

“Saya ada hubungi mereka, tapi menerima respon negatif. Sedih sangat, tapi nak buat macam mana, memang keluarga tak suka saya kahwin dengan bangsa lain,” ujar Jez yang memeluk Islam di Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Shah Alam pada 12 Mei lalu.

“Bagi saya, kita semua manusia. Bukan menjadi satu isu berkahwin dengan berlainan agama. Lagipun kita tinggal dalam satu negara. Tapi nak buat macam mana, ini keputusan yang saya buat. Jadi saya kena terima.

“Apapun, saya masih berharap mereka dapat menerima perkahwinan kami dan satu hari nanti, mereka akan sedar yang kami memang ditakdirkan untuk bersatu,” ujar Jez yang berdarah kacukan Cina-India.

Harith yang berusia 44 tahun turut menambah bahawa perkahwinan mereka tidak direstui bukan saja kerana isu agama, malah melibatkan pelbagai perkara.

“Semuanya bergabung. Agama, umur dan kerjaya. Saya faham perasaan mereka, tentu mereka nak anak mereka gembira. Saya faham.

“Apa yang saya boleh lakukan adalah membahagiakan anak mereka. Saya akan bimbing dan jaga dia.sebaik-baiknya,” ujar Harith yang percaya dan yakin isu ini akan selesai jika mereka mempunyai anak.

“Sekarang ni masih lagi tengah berusaha. Semuanya masih lagi dalam proses. Saya percaya benda ini akan perlahan-lahan okay. Satu, dua tahun nanti, kalau dah ada anak, mesti okay.”

Menyentuh soal anak, pasangan ini mengakui mereka tidak pernah merancang dan menyerahkan segala-galanya pada rezeki.

“Kami memang tak pernah merancang. Kalau boleh kami nak anak cepat. Saya dan Harith tak kisah dapat anak lelaki atau perempuan,” ujar Jez sambil diiakan oleh Harith.

“Saya pun tak kisah. Asalkan anak sihat cukuplah,” katanya.

Belajar berpuasa
Sempena bulan Ramadhan, Jez begitu teruja apabila dapat bersahur dan berbuka bersama suami tercinta.

“Saya agak teruja sambut bulan Ramadhan. Saya teruja sangat sebab pertama kali saya dapat berpuasa dengan suami. Sebelum ini saya pernah juga cuba untuk berpuasa dua kali ketika di zaman kolej. Saya memang selalu nak berpuasa, nak rasa macam mana tak makan satu hari.

“Tambahan pula saya ada gastrik. Jadi, saya nak rasa sendiri macam mana orang yang ada gastrik boleh tahan puasa. Saya masih belajar dan cuba biasakan diri dengan selok-belok agama Islam,” ujarnya yang gemar ke bazar Ramadhan.

“Saya juga tak sabar nak menyambut Hari Raya dengan Harith. Kami akan sambut Hari Raya di Kuala Lumpur bersama keluarga terdekat.”

Harith yang baru saja kehilangan ayah dan ibunya pada 26 Februari dan 21 Mac lalu mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini akan dibuat ala kadar sahaja.

“Persiapan Raya tahun ini kecil saja sebab ini merupakan Raya pertama saya tanpa ayah dan ibu. Bagaimanapun, saya bertuah kerana saya ada isteri pada Hari Raya nanti.”