Improvisasi Sinematografi Drama Gemilang Meyakinkan
Selepas kejayaan drama Nur Kasih yang mencetuskan fenomena di kalangan penggemar drama tempatan, kini syarikat produksi, Filmscape menerusi arahan sutradara terkenal, Kabir Bhatia muncul dengan drama terbaru berjudul ‘Gemilang’.
Drama bersiri 13 episod yang sudah pun menemui penonton sejak 24 Januari lalu ditayangkan setiap Isnin jam 9.00 malam di TV3. Merupakan hasil nukilan skrip, Mira Mustaffa, drama ini menampilkan barisan pelakon yang cukup terkenal iaitu Dato’ Jalaluddin Hassan (Cikgu Talib), Shahz Jaszle (Saifullah), Kamal Adli (Umar), Tiz Zaqyah (Asma) dan pendatang baru, Tasha Harith (Ruhana).
“Ini kali pertama saya berkerjasama dengan Kabir. Ia memang merupakan impian saya untuk berlakon di bawah arahan pengarah ini. Masa ditawarkan drama ini, saya sibuk dengan drama Seribu Kali Cinta, namun saya bersyukur kerana Kabir sanggup tunggu dan nak juga saya,”kata Kamal Adli ketika ditemui pada Sidang Media Drama Gemilang di Pusat Komuniti Bukit Damansara, petang semalam.
Bagi pelakon yang terkenal menerusi drama Nur Kasih, Tiz Zaqyah, pengalaman bekerja dengan Kabir sebelum ini membuatkan dia berasa selesa untuk bekerjasama sekali lagi dengan pengarah kelahiran New Delhi, India ini.
“Saya sangat selesa bekerja dengan dia. Bila dia panggil saya berlakon, memang saya tidak akan tolak. Malah, saya lagi mengejar jika dia ada projek. Saya tak kisah jika orang nak gelar saya anak emas Kabir, yang pasti saya memang selesa bekerja dengan dia.”
Selain gandingan pelakon yang mantap, drama ini turut dikuatkan lagi dengan bintang-bintang baru yang bakal bersinar seperti Talha Harith, Muniff Isa, Kpenq Zulkifli, Puteri Chi Chi, Amin, Gregory Sze Lai Huat, Qishz, Nash dan Diandra Arjunaidi.
Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9, Puan Nurul Aini Abu Bakar, “Drama yang berlandaskan konsep dan persekitaran zaman 70-an ini merupakan drama arahan Kabir Bhatia yang cukup indah dengan penghasilan skrip, jalan cerita selain improvisasi sinematografi yang cukup meyakinkan.
“Selain mempunyai unsur-unsur pengorbanan dan ikatan kekeluargaan yang tragis, iltizam dan keikhlasan, drama yang menjalani penggambaran di sekitar Lembah Klang dan Selangor ini turut menyelitkan unsur-unsur pengajaran dan teladan bersesuaian dengan semua peringkat umur dan pelbagai latar belakang penonton.
“Pastinya menjadi penyeri waktu perdana di malam Isnin, kami yakin para penonton tidak akan melepaskan peluang untuk menonton drama yang hebat ini bersama keluarga.”
Jangan ketinggalan untuk menonton drama hebat terbitan Filmscape, ‘Gemilang’ pada setiap Isnin, jam 9.00 malam hanya di TV3.



