Kuasa Wanita di Anugerah Juara Lagu
Sepanjang penganjuran Anugerah Juara Lagu sepanjang 25 tahun, kita telah menyaksikan 25 karya dinobatkan sebagai yang terbaik diantara yang terbaik. Penampilan penyanyi wanita bukan sekadar memeriah acara. Impak dan persembahan mereka ternyata memberi kesan terhadap penonton semua.
1. Noraniza Idris – Ratu Persembahan Terbaik
Mempertaruhkan irama etnik dan tradisional sepanjang penyertaan beliau dalam AJL, Noraniza Idris tidak pernah lari dari kelainan dalam setiap persembahannya saban tahun. Bermula dengan Awallah Dondang, Dikir Puteri, Hala Timur, Hatinya Tak Tahan juga Dondang Dendang, Ratu Irama Tradisional ini pastinya memberi persembahan yang bertenaga setiap kali muncul di pentas AJL. Membawa penari yang ramai mengiringi persembahan beliau, usahanya sering membuahkan hasil apabila memenangi persembahan terbaik pada tahun 1998, 1999, dan 2000.
2. Stacy – Malaysia’s Dancing Queen
Membuat kemunculan pertama di Anugerah Juara Lagu 2008 menerusi lagu Aku Stacy, diikuti dengan Pakai Buang dan Jahat pada tahun 2009 dan 2010, persembahan Stacy sememangnya dinantikan di pentas AJL. Terkenal dengan kelincahan dan gerak tari beliau yang cukup mantap, Stacy sentiasa memberikan persembahan yang bertenaga. Tidak hairanlah jika beliau diberikan jolokan Agnes Monica Malaysia melihatkan bakat serta kemahirannya dalam bidang tarian.
3. Dato’ Siti Nurhaliza – Lagenda Juara Lagu
Penampilan penyanyi nombor 1 negara di pentas AJL ini bukanlah satu perkara yang asing lagi. Memegang rekod sebagai artis yang paling banyak bertanding di pentas Juara Lagu, Siti Nurhaliza tidak pernah menghampakan peminat-peminat beliau. Siapa boleh melupakan persembahan beliau sewaktu mendendangkan lagu Nirmala pada Anugerah Juara Lagu 2002. Diiringi penari Swatari, Siti melengkapkan kemenangan beliau malam itu dalam kategori etnik kreatif dengan sebuah persembahan yang cukup bertenaga. Membawa pulang lebih dari 10 anugerah sepanjang penyertaan beliau, Siti membuktikan dominasi beliau di AJL bukanlah sekadar retorik semata-mata, tetapi semuanya adalah berkat kerja kerasnya selama bertapak dalam industri seni tanah air.
4. Misha Omar – Suara Gemersik
Pernah merangkul gelaran Vokal Terbaik sebanyak dua kali cukup untuk membuktikan anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini digeruni di pentas Juara Lagu. Bukan itu sahaja, percubaan pertama beliau menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta membuahkan hasil apabila berjaya menjadi Juara Lagu 2003. Terkenal dengan gaya hentakan kakinya, Misha tampil mantap sewaktu mendendangkan Ku Seru dan Pulangkan yang juga menjadi lagu tema prekuel filem Pontianak Harum Sundal Malam.



