Linda Onn: Jangan Kaitkan Saya Dengan Dia!

2 Sep 2010, 11:09am   |   Nani  |    Utama > HIBURAN > BERITA ARTIS >
Linda Onn: Jangan Kaitkan Saya Dengan Dia!
Kongsi Article Ini:

Umum mengetahui tentang episod saman yang melibatkan penyampai radio popular, Linda Onn dengan bekas teman tapi mesranya, siapa lagi kalau bukan pelakon serta pengacara, Fahrin Ahmad.

Jika sebelum ini, Fahrin beriya-iya mengadakan sidang media, menangis di depan wartawan dan nekad untuk menyaman Linda, namun actor bertubuh sasa ini akhirnya terpaksa akur untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.

Ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Suria FM baru-baru ini, Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn telah melahirkan rasa syukurnya di atas penarikan saman tersebut.

Malah, wanita berusia 32 tahun ini turut mengharapkan peminat di luar sana dapat menilai sendiri apa yang berlaku selama ini.

“Bila dia tarik balik, syukur pada Allah. Tak payahlah saya susah payah nak turun naik mahkamah. Alhamdulillah, diharapkan dari situ juga, peminat akan berhenti mencemuh,” ujar Linda dengan nada lega. 

Menurut Linda lagi, sejak isu itu berlaku, dia telah menerima tamparan hebat daripada masyarakat apabila banyak komen-komen yang mencemuh dirinya disiarkan di forum dan blog-blog tempatan.

“Bermula dari sidang media yang dia buat, peminat tak henti-henti mencemuh saya, cakap bukan-bukan pada saya, sedangkan mereka tidak tahu perkara sebenar.

“Berhentilah buat dosa dan berhenti-hentilah dari terus memfitnah. Cerita sebenar hanya Linda dan Tuhan saja yang tahu,” ujar anak kelahiran Singapura ini.

Jangan dikaitkan lagi
Pada majlis tersebut juga, pemilik My Mom’s Chicken Rice dan My Asam Pedas Shop ini turut menegaskan, dia enggan lagi dikaitkan dengan Fahrin, insan yang pernah hadir dalam hidupnya satu ketika dulu.

“Cukuplah sekadar itu mengenai dia. Jangan kait dah saya dengan dia. Jangan tanya apa-apa lagi. Lupus dan padamkan cerita lama,” ujarnya dalam nada tegas.

Malah, Linda turut memberitahu dia akan menolak sekiranya ada pelawaan yang hendak menggandingkan mereka berdua bersama dalam sesi fotografi.

“Ini bukan isu profesional atau tidak. Ini pilihan individu. Linda juga ada pilihan. Dengan apa yang berlaku sebelum ini, Linda rasa ini pilihan yang betul.

“Bagi Linda, satu gambar saja dah boleh menimbulkan cakap-cakap. Lebih baik Linda pandang ke hadapan dan tutup buku lama,” ujar Linda sambil meminta untuk mengubah topik. 

Apabila ditanya adakah Linda sudah menemui pengganti, Linda yang ayu mengenakan jubah menjawab, “Tak ada, Tuhan masih belum jumpakan jodoh Linda. Linda pasrah dan redha.”