Rock The World Hilang Adrenalin?

13 Dec 2011, 11:14pm   |   Ili FM  |    Utama > HIBURAN > BERITA ARTIS >
Rock The World Hilang Adrenalin?
Kongsi Article Ini:

Sedar tak sedar sudah 11 tahun festival muzik tahunan, Rock the World menghiburkan para peminat muzik di Malaysia, dari lot tempat kereta terbuka 1Utama ke Stadium Merdeka. Untuk pemuzik, bermain di Rock the World (RTW) itu dulu suatu penghargaan, dan untuk peminat pula, ia dinanti-nantikan.

Walaupun bertemakan ‘Adrenalin’, RTW  tahun ini hambar. Padang Stadium Merdeka tidak dibuka sepenuhnya dan itu pun tidak sampai separuh dipenuhi pengunjung. Walaupun selepas matahari terbenam ramai yang memilih untuk hanya duduk diam di tepi.  Acara selingan di luar stadium yang merangkumi gerai-gerai pakaian, makanan, pertunjukan kereta dan pentas ‘Open Mic’ sunyi sepi, membuatkan kami tertanya-tanya di mana silapnya RTW tahun ini?

Salah gabungan dan susunan slot persembahan pemuzik? Tidak cukup menarikkah promosi di rangkaian radio swasta ternama, atau di internet? Atau mungkin muda-mudi Malaysia sudah tidak mahu membayar lagi untuk menyaksikan kugiran-kugiran kegemaran mereka membuat persembahan kerana sering dibanjiri konsert-konsert percuma.

Apa kemungkinan RTW sudah tidak relevan lagi dengan citarasa penggemar muzik tempatan? Tanda kelesuan ini sebenarnya sudah terlihat di rangkaian-rangkaian ‘social media’ penting seperti Facebook dan Twitter. Akaun rasmi RTW di Facebook hanya mempunyai kurang dari lapan ribu pengikut dan untuk festival tahunan sebesar ini, ia merisaukan.

Pentas utama Rock The World: Adrenalin diserikan dengan persembahan Ten Thousand Talents, Mind Blank, I Revival, Kyoto Protocol, Temjin, Reza Salleh, Madamme, Statik, Restraint, Pesawat, Salam, Melodisaster, Ballad for Layla, Monoloque, Bittersweet, Akta Angkasa, The Azenders, Daarclea, The Padangs, dan Massacre Conspiracy. Sekali imbas memang senarai ini kelihatan seperti didominasi genre hardcore dan metal, tetapi ia sebenarnya agak ‘balanced’ dengan genre lain.

Manakala di ‘Open Mic’ stage ada Apple Project, DazMelon, Heart-A-Tack, Medusa, Gabba Gabba, The Jespers, Subborn, Modread, Mona Lyssa, Azure for Janne, Corsets, dan Thy Regiment. Beberapa band dari pentas ini seperti Gabba Gabba, Modread dan Azure for Janne sebenarnya sudah cukup popular untuk membuat persembahan di pentas utama, tapi entah kenapa di tempat kan di pentas lebih kecil di luar.

Yang pasti semua yang naik ke pentas dari awal siang hingga jam 10.30malam memberikan persembahan terbaik mereka, walaupun ada yang sempat di’boo’ penonton seperti Mind Blank. Kehadiran Reza Salleh dalam ‘line-up’ tahun ini sedikit  ‘out of place’ tetapi tidak menghalang beliau untuk memberikan persembahan yang baik dan muzik rock ala Kyoto Protocol mestinya mendapat slot persembahan yang lebih petang sedikit.

Salam dan kugirannya berjaya meniupkan angin reggae yang kencang dengan persembahan bertenaga, lantas membuat para pengunjung berdansa bersama. Begitu juga dengan Monoloque yang membuka setnya dengan ‘Tiada Kata Secantik Bahasa’ yang dinyanyikan bersama oleh para peminat.

Slot malam tampil meriah dibuka dengan Bittersweet yang tidak pernah memberi persembahan yang mengecewakan, dan diikuti dengan band Akta Angkasa. Walaupun satu-satunya band yang membuat persembahan tanpa vokal, mereka berjaya memukau para hadirin dengan lagu-lagu mereka.

Jelas sekali ramai yang hadir ke RTW: Adrenalin untuk menonton anak-anak muda The Padangs, dan juga Massacre Conspiracy. Kedua-dua band ini berjaya membuat penonton mosh tanpa henti dan turut menyanyi bersama. Acara berakhir tepat jam 10.30malam, sedikit luar biasa dari tradisi RTW yang seringkali mempunyai masalah dengan waktu.

Bagaimana pula Rock the World 12 nanti? Kami harap ia kembali meriah seperti zaman kegemilangannya dahulu. Semoga pihak penganjur tidak menjadikan kekurangan penaja sebagai alas an untuk mengurangkan promosi.  Malaysia tidak pernah kurang dengan band-band dan pemuzik muda yang berbakat dan mempunyai peminat sendiri, jadi pihak penganjur haruslah terus peka dengan kehadiran mereka bagi menjadikan festival ini kekal relevan di tahun-tahun akan datang. Yang paling penting, para peminat muzik tempatan juga masih terus menyokong acara muzik berbayar seperti ini.

Kredit Foto: ili fm