'Sehati Berdansa' Tak Boleh Dipersalahkan
Selepas tiga musim bersiaran, program kegemaran ramai, 'Sehati Berdansa' terpaksa direhatkan bagi memberi laluan kepada program realiti baru yang masih menekankan aspek tarian, 'Mari Menari' yang bakal bersiaran Oktober depan.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi ketika ditemui di majlis sidang akhbar program tersebut baru-baru ini memberitahu, 'Mari Menari' diperkenalkan untuk memberi peluang kepada orang ramai yang berminat serta berkebolehan dalam bidang tarian untuk merasai keseronokan berdansa.
Dalam majlis itu juga, dia menafikan dakwaan yang mengatakan 'Sehati Berdansa' terpaksa dihentikan siarannya, gara-gara kes penceraian pasangan selebriti yang mengambil bahagian di dalam program tersebut semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
"'Mari Menari' diwujudkan bukan disebabkan masalah itu. Sebaliknya, sejak program 'Sehati Berdansa' diperkenalkan, pihak kami mendapat banyak respon daripada orang ramai yang bukan selebriti yang berminat untuk menyertai program tersebut.
"Atas permintaan ramai, kami merasakan 'Mari Menari' amat sesuai bagi menggantikan 'Sehati Berdansa'. Konsepnya mungkin masih sama dengan 'Sehati Berdansa' namun buat masa ini kami mahu fokus dengan proses uji bakat bagi mencari peserta yang berkelayakan," ujarnya yang optimis program tersebut bakal mendapat sambutan ramai apabila ditayangkan kelak.
Diminta komennya mengenai kes penceraian yang terjadi di kalangan bekas peserta 'Sehati Berdansa', dia menyatakan di dalam setiap perkahwinan sudah pasti wujud pelbagai masalah. Jadi 'Sehati Berdansa' tidak boleh dipersalahkan kerana katanya, ada juga selebriti yang tidak mengambil bahagian di dalam 'Sehati Berdansa' turut bercerai.
"Pada saya apa yang berlaku kepada pasangan 'Sehati Berdansa' hanyalah satu kebetulan. Melalui 'Mari Menari', para peserta yang mahu hadir untuk uji bakat boleh menjadikan program 'Sehati Berdansa' sebagai rujukan. Hanya mereka yang berkebolehan sahaja akan terpilih," jelasnya.
Tambahnya 'Mari Menari' ialah sebuah program tarian untuk mencari calon pasangan yang berpotensi dalam bidang seni tari. Calon tidak semestinya mempunyai kelayakan atau pengalaman dalam bidang tarian, tetapi apa yang lebih penting ialah minat yang mendalam dalam bidang tersebut.
"'Mari Menari' tambah menarik kerana melalui program ini kami ingin mencari pasangan yang mempunyai pertalian darah atau muhrim di antara satu sama lain.
"Ini bermakna calon uji bakat boleh memilih sesiapa sahaja sebagai pasangan tari masing-masing asalkan mempunyai hubungan kekeluargaan antara mereka," katanya.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai program 'Mari Menari', anda dijemput hadir ke sesi uji bakat yang diadakan di Astro Bukit Jalil, pada 31 Julai dan 1 ogos depan. Tiada had umur yang dikenakan kepada para calon uji bakat selain warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.
Mereka yang berminat perlu membawa salinan kad pengenalan beserta dua keping gambar terkini berukuran 4R. Calon pasangan yang hadir juga perlu membawa pakaian yang bersesuaian untuk menari seawktu sesi uji bakat itu.



