Teater Pertama Guna Teknologi Realiti Luasan
Friendly Rabbit Media Sdn. Bhd (FRM) sebagai penyedia teknologi realiti luasan (augmented reality technology) hari ini mengumumkan penggunaan teknologi realiti luaran itu dalam teater muzikal Tun Mahathir.
Teknologi itu pertama kali digunakan dalam sebuah teater muzikal tempatan yang bakal memberikan kepuasan kepada penonton untuk menikmati adegan-adegan yang dipancarkan ke skrin secara langsung mengikut pergerakan pelakon.
Dibangunkan oleh syarikat tempatan yang berpejabat di Cyberjaya, teknologi itu merupakan teknologi terkini yang digunakan bagi melatih dalam bidang kejuruteraan perkapalan, kejuruteraan automotif, kejuruteraan aeronautikal dan pendidikan.

Pertama Guna Teknologi Augmented Reality
Antara adegan yang bakal diserap teknologi tersebut adalah senario bagi menggambarkan serangan Tentera Jepun, sewaktu Tun Mahathir menulis suratnya kepada Tunku dan era pembangunan yang bakal menjelmakan bangunan berkembar KLCC, litar lumba F1 Sepang dan KLIA di atas pentas IB.
Amar Zulkifli selaku pengasas syarikat tersebut menyifatkan cabaran untuk menggunakan teknologi itu dalam sebuah pementasan teater amat besar kerana ia pertama kali digunakan di atas pentas secara langsung.
Dengan kepakaran 16 kakitangannya yang kini sedang bertungkus-lumus menyiapkan pengaturcaraan pementasan itu, Amar yakin teknologi yang diperkenalkan ini akan dapat diperluaskan ke produksi televisyen mahu pun filem. Setakat ini lebih 70 peratus kerja telah pun disiapkan.
Menurut Rosminah Tahir selaku pengarah teater ini, pelbagai teknologi sedia ada dibincangkan untuk diaplikasikan dalam teater itu. Namun oleh kerana kekangan kos menyebabkan teknologi itu dipilih. Selain itu teknologi “hologram” dan “moving-head video projector” turut disenaraikan.
Teknologi realiti luasan itu disifatkan paling efektif yang akan mengurangkan kos pembinaan set terutamanya yang melibatkan set-set besar dan latar skrin.
Diarahkan Rosminah Tahir dengan skrip oleh Ismail Kassan, teater itu dibintangi Esma Danial, Erra Fazira, Zizan Nin, Erma Fatima, Dato Jalaluddin Hassan, Misha Omar dengan lebih 130 pelakon yang bakal membawa penonton mengenang dan menyusuri sejarah hidup Perdana Menteri Malaysia ke empat itu.
Tun Mahathir The Musical bakal dipentaskan mulai 24 September hingga 4 Oktober depan di Istana Budaya Kuala Lumpur.
Tiket menyaksikan pementasan itu berharga Rm30 hingga RM150 dan boleh dibeli secara online di www.ticket2u.biz atau pun terus ke kaunter tiket di Istana Budaya.



