Wana Mystarz LG Seorang Playgirl?
Jika direnungkan kembali, sejak awal kemunculannya dalam industri hiburan tanah air sehinggalah sekarang, tidak putus-putus rasanya penyanyi kelahiran Johor ini dikaitkan dengan insan yang bergelar lelaki.
Bukan satu, bukan dua, tapi tiga lelaki telah dikaitkan dengan penyanyi ini. Kalau hendak dibandingkan dengan cerita mengenai kerjaya nyanyiannya, GUA rasa tidaklah semeriah ceritanya dengan kaum-kaum Adam ini.
Perkara ini diakui sendiri oleh pemilik nama Noriezuana Syed Shafudin atau Wana ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Suria FM di Swiss Garden Hotel & Residence Kuala Lumpur baru-baru ini.
“Karier nyanyian saya tak sehebat cerita-cerita ini. Kalau boleh, sudah tentu saya nak orang tahu pasal karier berbanding gosip-gosip sebegini,” ujar gadis berusia 24 tahun ini.
Tidak lama dulu, Wana dikatakan mempunyai hubungan cinta dengan Hairi, seorang pelakon baru yang juga merupakan bekas peserta sebuah program realiti TV.
Namun, juara program realiti Mystarz LG musim kedua ini menyangkal gosip berkenaan. Tidak lama selepas itu, Wana dikaitkan pula dengan Nashrin iaitu rakan seperjuangannya ketika dalam program realiti berkenaan.
Seperti biasa, Wana menepis dakwaan ini dan menganggap hubungannya dengan Nashrin hanya sebagai teman rapat.
Tidak cukup dengan itu, Wana dikaitkan pula mempunyai hubungan cinta dengan penyanyi rap, Daly yang juga merupakan bekas anggota kumpulan Ahli Fiqir.
Namun, tidak lama kemudian keluar pula cerita bahawa mereka berdua telah putus. Disebabkan sering dikaitkan dengan ramai lelaki, Wana telah dilabel seorang ‘playgirl’.
“Saya tak minta orang untuk bercerita tentang saya dengan tiga lelaki ini. Terpulanglah pada orang nak label apa pada saya. Saya tahu had saya dengan mereka,” jelasnya sambil memberitahu ibunya tahu dengan siapa dia berkawan.
Jelas hubungan dengan Daly
Ketika menghadiri majlis berbuka puasa tersebut, GUA terpandang kelibat Wana dan Daly yang duduk bersebelahan di satu meja.
GUA agak pelik juga, maklumlah sebelum ini kecoh kononnya mereka berdua ini telah putus cinta. Tapi dari gaya mereka yang agak mesra, GUA tertanya-tanya adakah mereka ini sudah berbaik semula.
Jadi untuk menyejukkan hati, GUA pun teruslah serbu pasangan ini untuk mengetahui status sebenar tentang hubungan cinta mereka berdua, sama ada sudah putus atau belum.
“Tak terikat, macam mana nak putus,” jelas Wana ringkas mengenai desas-desus yang timbul.
“Kami sebenarnya kawan rapat. Lagipun kami di bawah syarikat rakaman yang sama iaitu Warner Music. Wana senang berkawan dengan Daly.”
Menurut Wana, cerita kononnya mereka ada hubungan cinta timbul apabila ada yang melihat dia hadir ke majlis terakhir Ahli Fiqir di Pulau Pangkor.
“Kami di bawah naungan yang sama. Wana pergi ke sana pun untuk sokong mereka ketika itu. Cerita kononnya kami ada hubungan cinta tak benar sama sekali. Buat masa ini, masing-masing masih solo.”
Perkara ini diakui sendiri oleh Daly yang duduk di sebelah Wana. Bagi Daly, dia menganggap gosip yang timbul adalah lumrah apabila menjadi artis.
“Benda ini bagi kami, adat resam dunia artis. Ini bukan satu yang sensasi, jadi kami putuskan untuk biarkan saja.”
Wana turut berharap dengan keterangannya dan Daly, masyarakat sudah jelas mengenai hubungan mereka dan tidak lagi membuat sebarang spekulasi yang bukan-bukan mengenai hubungan mereka berdua.
‘Airmata Jatuh Di Dalam’
Bercerita mengenai karier, Daly yang kini bergerak solo baru saja mengeluarkan 'single' terbaru berjudul, "Airmata Jatuh Di Dalam". Apa yang istimewanya, lagu ini turut menampilkan Wana sebagai rakan duetnya.
“Lagu ini tak ada kaitan dengan kisah kami berdua. Lagu ini mengisahkan tentang pasangan yang bercinta, yang terlalu sedih kerana berpisah sehingga air mata tak keluar.”
Bagi Wana pula yang sebelum ini pernah muncul dengan album berjudul ‘Siapa’, dia mengakui albumnya sebelum ini kurang mendapat sambutan ramai.
“Saya akui saya masih baru dan banyak perlu belajar. Saya tak rasa kecewa dengan apa yang berlaku dan tak pernah menganggap saya tak bernasib baik,” ujarnya mengakhiri perbualan.



