Farid Kamil: Saya Bukan Main Tarik Tali
Farid Kamil jelaskan hubungannya dengan Diana Danielle.
Meskipun masing-masing lebih senang membiarkan peminat berteka-teki tentang status perhubungan mereka, namun siapa yang tidak tahu tentang percintaan yang terjalin diantara aktres jelita Diana Danielle dan pelakon-pengarah muda berbakat besar, Farid Kamil. Ditambah pula bukan sekali dua mereka telah dilihat bersama.
Acapkali ditanya mengenai perhubungan mereka, namun tiada jawapan pasti yang diberikan. Kesempatan menemuramah Farid baru-baru ini selepas sidang media filem terbaru lakonannya, 'Apokalips', digunakan untuk mengajukan persoalan yang sama buat kesekian kalinya. Dengan harapan memperoleh jawapan pasti mengenai status perhubungannya dengan Diana. Walaupun ternyata Farid lebih senang membiarkan persoalan itu tidak berjawab, namun akhirnya dia akur.
"Saya tak pernah 'deny' atau mengiyakan sebab saya keberatan untuk komen. Apa yang berkembang dalam hal peribadi, biarlah ia disitu. Saya bukan main tarik tali. Cuma selesa untuk tidak menceritakan apa-apa. Bagi saya, ini memudahkan lagi kerja saya sebagai pelakon.
"Peminat tidak semuanya ingin tahu tentang kehidupan peribadi saya. Mereka hanya ingin tahu tentang perkembangan kerjaya. Saya bersyukur mereka tetap menyokong dan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan saya sebagai seorang pelakon," jelasnya.
Bila dimaklumkan ada yang mentafsir keengganannya untuk memberi komen disebabkan dia di 'kawal' Diana, jawab Farid, "Sejak kecil, takde orang yang boleh mengawal kehidupan saya. 'No one answers to my life but me.' Saya seorang yang 'independent, I get what I want'."
"Takde siapa yang boleh halang"
Terbaru, Farid sudah selesai dengan penggambaran 'Apokalips', kerjasama ketiganya dengan pengarah Mamat Khalid selepas 'Kala Malam Bulan Mengambang' dan 'Estet'. Memegang watak Paduka Ayahanda X, Farid berkongsi yang X merupakan satu watak yang tidak pernah dicuba sebelum ini.
"X satu watak yang baru bagi saya, yang tidak pernah saya terokai sebelum ini. Apa yang menarik tentang dirinya adalah sifat dominasinya yang mengagumkan saya," katanya yang juga buat pertama kalinya berlakon menggunakan 'green screen' dan mencuba teknik stunt 'rigging', dimana dia menerjun dari tingkat lima.
Kongsi Farid, keputusannya untuk membuat sebahagian daripada stunt-nya sendiri adalah kerana ingin mendapatkan hasil yang lebih elok. Itupun selepas melihat 'stuntman' melakukan aksi-aksi tersebut berulang kali dan yakin ia selamat untuk dilakukannya.
"Kalau bukan rezeki saya untuk jatuh, saya takkan jatuh. Apa yang terjadi akan terjadi. Tapi biasanya, saya akan membaca doa dulu. Ia satu kepuasan bila kita dapat 'lepas' benda itu," katanya yang mengalami kecederaan ringan ketika penggambaran 'Apokalips'.
"Tapi ibu saya memang marah bila tahu saya melakukan aksi-aksi seperti ini. Dia tak suka. Dia bimbang. Bagi saya, ia sesuatu yang normal bila sudah bergelar pelakon. Saya cuma cakap padanya, 'Mama doakan je-lah.' Bila saya nak buat sesuatu itu, takde siapa yang boleh halang."
Tatkala ditanya jika dia sanggup berbogel jika ia dapat memastikan hasil yang baik, katanya sebagai seorang pelakon di Malaysia, akan dibuat berdasarkan apa yang diluluskan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF). Kerana jika sudah tahu sesuatu itu akan ditapis pihak LPF mengapa hendak dibuang masa dan tenaga untuk melakukannya.
Ketika temubual itu juga, Farid memberitahu dia hanya mendapat watak X pada hari-hari terakhir penggambaran filem arahan keduanya, 'Kongsi', berlainan dengan barisan pelakon lain yang mempunyai tempoh masa dua minggu untuk berlatih dan mendalami watak mereka bersama Mamat Khalid.
"Bimbang sebenarnya jika penjiwaan yang diberikan tidak mencukupi kerana saya tidak banyak masa untuk membuat persiapan bagi watak X. Tetapi Mamat Khalid sudah memberikan gambaran yang jelas tentang X dan kami juga sempat menghabiskan masa beberapa jam berbincang tentang visi, misi, prinsip, kelemahan serta kekuatan X.
"Kali pertama bekerjasama dengan Mamat Khalid dalam 'Kala Malam Bulan Mengambang', susah saya nak faham apa yang dikehendakinya. Tetapi sekarang, dia tahu apa yang boleh saya lakukan. Dan dari perbincangan kami, ia memudahkan saya untuk bawa watak X dari segi fizikal dan mental," katanya yang akan memulakan penggambaran untuk drama 'Tunjuk Lagu' tidak lama lagi.


