Umie Aida Seronok Berpuasa Tahun Ini

11 Aug 2010, 09:23pm   |   Miss Ayu  |    Utama > HIBURAN > BERITA ARTIS >
Umie Aida Seronok Berpuasa Tahun Ini
Kongsi Article Ini:

Umie teruja menyambut Ramadhan pertamanya sebagai isteri.

Tahun ini merupakan tahun pertama buat Datin Paduka Umie Aida berpuasa bersama suami tercinta, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan. Sudah pasti pengalaman berpuasa kali ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Umie yang ditemui pada sidang media Teater Muzikal Natrah baru-baru ini, dia memang sangat teruja menyambut Ramadhan kali ini kerana dia bukan sahaja ditemani oleh anak-anak, tetapi juga suami.

“Saya sangat teruja dan seronok kerana ini tahun pertama saya berpuasa di samping suami dan anak-anak. Sebelum ini, setiap kali tiba Ramadhan, saya berasa agak hiba juga kerana saya hanya ada anak-anak. Sedangkan adik-beradik saya yang lain sudah ada keluarga yang lengkap. Tahun ini saya sudah bersuami, jadi lain sedikit suasananya. Saya akui memang saya tidak sabar-sabar hendak lalui saat-saat ini,” jelas Umie sambil mengukir senyuman.

Berkongsi cerita tentang perancangannya untuk melalui bulan puasa tahun ini, Umie memberitahu seperti biasa dia akan memasak sendiri untuk juadah bersahur. Ini kerana dia tidak mempunyai pembantu rumah untuk melakukannya.

“Macam tahun-tahun sebelum ini, saya akan masak sendiri untuk juadah bersahur nanti. Saya masak yang ringkas-ringkas sahaja. Untuk berbuka pula, saya dan keluarga akan pergi ke rumah emak saya. Perkara ini sudah menjadi kebiasaan saya dan adik-beradik pada setiap tahun. Di rumah mak nanti, kami akan sama-sama memasak juadah untuk berbuka,” cerita Umie lagi.

Bagaimana pula dengan jadual kerja Umie pada bulan Ramadhan ini? Jelas Umie, sempena bulan mulia ini dia memang tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana ingin berehat sepenuhnya di samping beribadat. Namun, Umie ada terlibat dengan beberapa acara amal seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan mangsa HIV.

Tidak akan berhenti berlakon
Mengulas isu yang mengatakan dia akan bersara daripada berlakon pula, pelakon dan penyanyi berusia 36 tahun ini menafikan perkara tersebut. Menurut Umie, dia bukannya mahu bersara tetapi hanya akan memilih watak yang dirasakan sesuai dengan statusnya sebagai seorang isteri.

“Saya bukan hendak bersara daripada berlakon. Cuma selepas ini, saya akan pilih watak yang sesuai dengan status saya sekarang ini. Biasalah selepas berkahwin, memang kita akan terfikir tentang perkara ini. Saya akan pilih watak yang lebih selesa untuk menjaga hati suami.

“Memang suami saya tidak pernah cakap apa-apa sebelum ini, tetapi saya mahu menghormatinya. Saya tidak mahu guris perasaan orang yang saya sayang,” jelas Umie yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telemovie ‘Air Mata Nursalina’ di samping Remy Ishak.

Ditanya apakah maksudnya dengan ‘watak yang lebih selesa’, Umie menerangkan dia mahukan watak yang positif. Mungkin juga watak bertudung.

Menyentuh sedikit tentang alam perkahwinannya, Umie memberitahu dia dan suami sekarang masih dalam ‘mood’ berbulan madu.

“Walaupun sudah lima bulan kami berkahwin, tetapi rasanya masih di alam percintaan. Seronok sangat. Kami saling tolong-menolong dalam menjalani kehidupan sebagai suami-isteri,” kata Umie.