Vokal Fran Seperti Dalam Kaset

7 Feb 2011, 12:33pm   |   sultanmuzaffar   |    Utama > HIBURAN > FEATURE >
Vokal Fran Seperti Dalam Kaset
Kongsi Article Ini:

Vokalnya amat mengagumkan! Itulah yang boleh disimpulkan pada persembahan selama 3 malam oleh penyanyi bergelar Fran yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Februari lalu. Konsert Keunggulan 33 Tahun Francissca Peter diadakan bersempena meraikan kegemilangan penyanyi legenda itu dalam industri muzik tempatan. Konsert sulung penyanyi yang meniti zaman kegemilangannya dengan lagu Sekadar Di Pinggiran itu turut mencipta sejarah tersendiri apabila ia merupakan persembahan sulung buat penyanyi solo bukan Melayu yang berpeluang untuk mengadakan konsert di pentas berprestij Istana Budaya.

Diarahkan oleh Chandra Shegar, selaku Penerbit Eksekutif Eye Design mengotakan janji mereka untuk menampilkan sebuah persembahan yang amat membanggakan. Setelah 33 tahun berkecimpung di arena muzik tempatan selain membawa nama Malaysia ke mata dunia, inilah kali pertama Fran berpeluang untuk menghadiahkan kepada peminatnya sebuah konsert besar. Menjadi idaman setiap penyanyi untuk beraksi dalam sebuah konsert besar dan peluang datang bergolek apabila peluang itu diberikan oleh pihak Istana Budaya. 

Dipimpin pengarah muzik tersohor Datuk Haji Ramli MS, persembahan Fran diiringi 33 pemuzik orkestra yang menampilkan 33 lagu-lagu popularnya sepanjang zaman. Membuka tirai dengan lagu Ku Ke Udara Lagi sudah cukup membayangkan yang penyanyi itu sudah cukup bersedia untuk menghiburkan peminatnya selama 3 jam tanpa henti. Fran bijak mengadun persembahannya dengan menampilkan lagu popular dan yang kurang popular berselang-seli menjadikan keseluruhan perjalanan konsert itu tidak membosankan. Ada ketika penonton di bawa semula ke zaman album Komputer Muzik sekitar tahun 1984 seperti lagu Ku Menari Untukmu dan Si Mata Merah.

Tepukan gemuruh bergema apabila Fran membawakan lagu Aku Hanya Pendatang dan turut menjemput Manan Ngah, komposer yang bertanggungjawab membawa namanya ke mercu kejayaan mengiringi persembahannya untuk lagu Kerna Terpaksa. Sukar untuk memuaskan hati semua pihak, beberapa lagu terpaksa dirangkaikan dalam 2 segmen medley. Rangkaian pertama Fran menggabungkan lagu-lagu seperti Andainya, Kau Bintangku, Digenggam Sepi dan lagu tema drama alih suara Isaura iatu Masih Belum Tamat.

Belum cukup mengejutkan peminatnya, selain mempertaruhkan mutu vokal yang masih kedengaran seperti mendengar kaset lama albumnya, Fran menjemput Royston Sta Maria, rakan duetnya sekitar tahun 1982. Diterbangkan khas oleh Air Asia X dari Australia, inilah kali pertama mereka berdua digandingkan dalam sebuah persembahan konsert besar. Bersama Roy yang turut bermain piano, mereka menyampaikan lagu Bersama Pertemuan Ini, Siapa Dia Sebelum Daku dan Tak Kenal Maka Tak Cinta. Roy yang kini menetap di Australia cukup berbesar hati apabila dapat kembali menjejakkan kakinya ke Kuala Lumpur setelah 23 tahun.



Fran kembali melarutkan peminatnya dalam arus alunan lagu-lagu baladanya. Bermula dengan lagu Akulah Kekasihmu, Sekadar Di Pinggiran, Aku Kehilanganmu dan Kau Lilin Cintaku. Gubahan muzik hasil sentuhan magis Ramli MS menjadikan lagu-lagu yang telah berusia lebih 2 dekad kepada sesuatu yang lebih segar dan terkini. Tidak hairanlah jika lagu-lagu itu masih kekal dalam ingatan kita semua diperkuatkan lagi dengan alunan vokal Fran yang cukup merdu.

Kembali meneruskan persembahan dengan rangkaian kedua yang menggabungkan lagu-lagu seperti Dia, Biarpun Segenggam Harapan, Semalam dan Keyakinan Diri. Irama jazz sudah seakan sebati dalam diri Fran apabila turut menyelitkan segmen jazz dalam persembahannya dengan lagu It Don't Mean A Thing If It Ain't Got The Swing, Lover Man dan menampilkan gubahan muzik yang cukup berbeza untuk lagu Oo La La Tropika. Fran turut mendendangkan lagu tema World Vision yang bertajuk Tomorrow dengan mengingatkan penonton yang hadir agar terus membantu mereka yang dalam kesusahan.

Di konsert itu Fran turut menjemput penyanyi kelahiran Singapura iatu Imran Ajmain untuk berduet dengannya dalam lagu Mirror Mirror dan Kehebatan Cinta yang pernah dipopularkannya bersama Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah. Kita tentu masih ingat lagi akan lagu yang sering disampaikan sebelum siaran Berita RTM pukul 8 malam  Lagu Setia yang pernah menjadi seakan lagu tema setiap isi rumah dibawakan Fran diiringi pemain sitar dan erhu.

Mahu mengejutkan peminatnya dari terus terbuai dalam alunan lagu-lagu baladanya, Fran membawakan lagu-lagu rancak seperti Hingga Ke Akhir Waktu, Si Kunang Kunang dan Pasti Kembali. Kehebatannya bernyanyi membuatkan kita terlalai dari menikmati apa yang dihidangkan kepada kita sebagai melatari persembahan Fran, seperti contohnya barisan penari yang mengiringi persembahannya. Kekaguman penulis kepada pemilik nama Fran sangat tinggi lebih-lebih lagi memikirkan usia penyanyi itu yang semakin meningkat tetapi mutu vokalnya masih seperti dahulu. Penulis cuba untuk mencari di mana kelebihan yang ada pada penyanyi seangkatan Fran seperti Zainal Abidin dan Khatijah Ibrahim sekadar menyebut beberapa nama. Jika diimbas dari mana mereka bermula, penulis dapat menyimpulkan bahawa latihan sebenar nyanyian mereka itu bermula di kelab malam. Latihan setiap malam menghiburkan pengunjung kelab malam merupakan latihan palingenesis berkesan untuk mengasah vokal mereka setajam sehingga sekarang.


Sebelum melabuhkan tirai persembahannya, Fran menghiburkan peminatnya yang rata-rata mereka dari generasi yang lahir tahun 60an dan 70an yang hadir bersama anak-anak mereka di kalangan generasi terkini dengan lagu Mawar Terpinggir, sebuah lagu terbaru ciptaannya bersama Imran Ajmain iaitu Tiada Gementar Lagi dan mengucapkan selamat tinggal kepada peminatnya dengan lagu Ku Ke Udara Lagi/I'm On The Air Again.

Ya! Nama Fran akan terus mekar dan harum disebut-sebut sampai bila-bila. Lagu-lagu malar segarnya akan terus dimainkan di stesen radio tempatan. Lagu-lagu baladanya akan terus menjadi igauan terutama bagi mereka yang sedang hangat bercinta atau yang sedang putus cinta. Melodi lagunya akan terus menjadi siulan sepanjang zaman.

Syabas Francissca Peter!






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad