Aisya Tak Percaya Dengan Ajai

26 Jan 2011, 03:22pm   |   Miss Ayu  |    Utama > HIBURAN > TEMUBUAL >
Aisya Tak Percaya Dengan Ajai
Kongsi Article Ini:

Aisya Hasnaa, satu nama baru dalam industri hiburan negara. Nama ini memang kurang didengari kerana langkahnya baru bermula. Bernaung di bawah syarikat rakaman milik komposer terkenal Ajai, Wake The Baby, Aisya sebenarnya sudah pun siap merakamkan album pertamanya. Namun, album ini masih belum dilancarkan kerana pihak pengurusan menunggu waktu paling sesuai.

 

Bagaimanapun, single pertama Aisya berjudul Lagu Mahu Kamu sudah mula diputarkan di beberapa stesen radio seperti Hot FM, Era dan Muzik FM sebaik sahaja ia diedarkan. Apa istimewanya gadis berusia 20 tahun ini sehingga mendapat kepercayaan Ajai? Mungkin itu persoalan yang sedang bermain di minda anda sekarang ini.

 

Jika anda pernah mendengar Lagu Mahu Kamu, pasti anda tahu di mana keunikkan gadis ini. Membawa konsep Pop Jazz, Aisya ternyata memiliki suara yang lain daripada lain. Bahkan, konsep yang dipertaruhkan juga jarang menjadi pilihan penyanyi yang seusia dengannya.

“Perkara inilah yang membuatkan Ajai tertarik untuk menjadikannya sebagai artis Wake The Baby. Bagi Ajai, Aisya sangat berani kerana mahu tampil dengan genre muzik sebegini. Selain itu, perwatakannya juga menarik dan sesuai untuk diketengahkan sebagai penyanyi,” ulas Pengurus Artis Wake The Baby, Liza Ilias mewakili suaminya Ajai.

 

Sementara itu, Aisya yang ditemui ketika majlis koktel anjuran Firefly di Kuching, Sarawak baru-baru ini memberitahu dia sebenarnya berasa agak terkejut apabila Ajai setuju mengambilnya sebagai artis rakaman hanya selepas satu perbincangan.

 

“Rasa macam tak percaya pun ada apabila Abang Ajai cakap o.k selepas pertemuan pertama kami pada Mac 2010 lalu. Saya ingat mesti kena jumpa banyak kali untuk yakinkan dia. Tapi selepas dia dengar pita demo yang saya bawa, terus dia suka dan berbincang dengan pengurus saya untuk ambil sebagai artis rakaman. Tak lama selepas itu, saya masuk studio untuk rakam single pertama Lagu Mahu Kamu,” ulas Aisha teruja.

Bercerita tentang album pertamanya pula, Aisya menjelaskan album pertamanya itu mengandungi empat buah lagu kesemuanya dan ia adalah gubahan Ajai. Dia memilih genre Pop Jazz kerana kurang yakin dengan penerimaan irama Jazz di kalangan peminat.

 

“Saya tahu kalau irama Pop memang ramai yang suka dengar. Kalau Jazz ini hanya golongan tertentu sahaja yang suka. Sebab itu saya gabungan kedua-dua genre muzik ini untuk memancing perhatian pendengar. Saya tak mahu tinggalkan Jazz sebab ia adalah muzik yang paling saya minati. Mudah- mudahan, peminat muzik di luar saya boleh menerima kehadiran saya,” ulas Aisya yang sangat berpuas hati dengan proses pembikinan albumnya itu.

 

Secara ringkas tentang latar belakang penyanyi ini, walaupun sangat baru dalam industri, Aisya Hasnaa sebenarnya telah berkecimpung dalam bidang nyanyian sejak berumur 14 tahun lagi.

 

Penuntut Kursus Seni Persembahan di Kolej Universiti Sunway ini pernah membuat beberapa persembahan nyanyian di beberapa acara besar seperti di majlis pelancaran Zoom Malaysia di One Utama, Fly FM Campur Chart di Laundry Bar, dan Klue Urbanscapes di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPac).

 

Aisya menjadikan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Sheila Majid sebagai idola untuk terus maju dalam bidang yang diminati sejak kecil ini. Selain menyanyi, Aisya juga ingin menceburi bidang lakonan pada masa akan datang.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad