Alif Cemburukan Faizal Tahir dan Alyah

2 Sep 2010, 02:41pm   |   Miss Ayu  |    Utama > HIBURAN > TEMUBUAL >
Alif Cemburukan Faizal Tahir dan Alyah
Kongsi Article Ini:

 

Alif Satar, penyanyi yang popular dengan lagu ‘Jangan Nakal’ mengakui dia mencemburui Faizal Tahir dan Alyah yang dilihat lebih menyerlah daripadanya. Kata Alif, sebagai rakan yang sama-sama menyertai One In A Million musim pertama, dia berasa agak ketinggalan berbanding dua rakan ‘seangkatannya’ itu. 

 

“Tetapi Alif tidaklah cemburukan mereka pada sudut negatif. Sebaliknya Aliff menjadikan mereka sebagai contoh untuk terus berusaha memajukan diri. Untuk berada di tahap sekarang ini, Faizal Tahir dan Alyah telah melalui banyak cabaran. Alyah misalnya, walaupun pernah muncul dengan album lama dahulu, tetapi namanya hanya melonjak dalam setahun dua ini. Kejayaan yang dicipta oleh dua individu ini membuatkan Aliff tidak putus asa untuk terus menempatkan diri dalam industri hiburan negara,” ujar Alif yang ditemui ketika majlis berbuka puasa anjuran Sony Music baru-baru ini.

 

Dalam pada itu, Alif turut mengulas tentang penglibatannya dalam dunia pengacaraan memandangkan dia dilihat lebih menumpukan perhatian kepada bidang itu berbanding nyanyian.

 

Jelas Alif, dia seronok melakukan tugas pengacaraan kerana bidang itu memberinya peluang untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang diminatinya seperti melancong dan sukan lasak. 

 

“Alif suka dengan dua-dua bidang. Menyanyi dan mengacara adalah sesuatu yang Alif ingin buat. Alif percaya, mengacara juga mampu memperkenalkan Alif pada peminat. Alif tidak rasa tugas pengacaraan itu mengganggu kerjaya nyanyian. Alif masih terima undangan nyanyian macam biasa sebab kalau show selalunya sebelah malam. Alif memang tidak akan tinggallkan nyanyian kerana Alif pun bermula dengan program nyanyian. Kalau terpaksa pilih antara mengacara dan menyanyi, Alif akan pilih menyanyi,” ujar Alif yang baru selesai menjalani penggambaran program ‘Inspirasi Remaja’ yang bakal bersiaran di TV1 Oktober hadapan.

 

Mula berlakon

 

Dalam perkembangan lain, dalam diam-diam rupa-rupanya Alif sudah pun mencuba cabang seni baru iaitu berlakon. Walaupun pernah berkata tidak suka dengan lakonan, tetapi akhirnya pintu hatinya terbuka untuk menerima tawaran daripada Primeworks Sdn Bhd. 

 

Menurut penyanyi berusia 20 tahun ini, dia menerima tawaran berlakon dalam telemovie berjudul ‘Cerita Hantu Malam Raya’ itu kerana wataknya sebagai Pontianak Hensem itu memerlukannya melakukan aksi terbang.

 

“Mula-mula ditawarkan Alif memang tidak berminat. Tetapi setelah melihat skrip dan dapat tahu ada aksi terbang, terus Alif setuju untuk berlakon. Seronok kalau dapat peluang macam ini. Kalau nak tahu sejauh mana Alif boleh berlakon, jangan lupa tengok cerita ini pada Hari Raya nanti. Cerita komedi ini turut dibintangi oleh Almy Nadia, Kencana Dewi, Erry Putra dan Nubhan,” cerita Alif sambil menunjukkan gambar-gambar belakang tabir pembikinan telemovie itu. 

 

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri pada tahun ini pula, Alif memberitahu dia dan keluarga hanya akan berhari raya di Kuala Lumpur sahaja kerana adiknya yang baru mula bertugas tidak mendapat cuti.

 

“Tahun ini Alif dan keluarga akan berhari raya di sini sahaja. Emak, ayah dan adik-beradik akan datang ke rumah Alif yang terletak di Jalan Duta. Kiranya, ini pengalaman pertama beraya di rumah sendiri. Rumah ini Alif beli kira-kira setahun dulu. Tentang persiapan raya pula, Alif buat sederhana sahaja. Baju Melayu pun pakai yang tahun lepas punya,” cerita Alif mengakhiri perbualan.