Bersama Saiful Nang, Jurufoto Rasmi Perkahwinan Angkasawan Negara
Sempena Majlis Perkahwinan Terunggul, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd Yunos yang bakal berlangsung Ahad ini, GUA telah berkesempatan untuk menemubual jurufoto rasmi majlis tersebut, Saiful Nang dari Candidsyndrome. Saiful yang berpengalaman luas dalam bidang fotografi pernah terlibat menjayakan majlis perkahwinan penyanyi Ning Baizura dan putri Sultan Brunei.
Diasaskan bermula dari minat Saiful Nang terhadap bidang fotografi pada tahun 2004, kekuatan pasukan keseluruhannya seramai 20 orang jurugambar dengan 8 orang jurufoto kanan dari Brunei, Indonesia, Jerman dan Sweden selain Malaysia dalam pelbagai bidang kepakaran serta 8 krew pejabat.
Bermula sebagai “wedding photography house”, kini berkembang kepada dua media iaitu foto dan video yang khusus dalam genre perkahwinan, potret, kembara dan seni halus. Syarikat Malaysia ke berjaya di peringkat global turut menubuhkan akademi fotografi pada tahun ini dengan matlamat untuk memajukan industri fotografi.
Candidsyndrome turut diiktiraf oleh Master Photographer Association (UK), WPPM, Signature Photographers.
Ikuti wawancara ringkas GUA bersama Saiful Nang (SAIFUL):
GUA : Boleh saudara ceritakan tema atau konsep tugas merakamkan foto majlis perkahwinan dan majlis pernikahan Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina ?
SAIFUL : Konsepnya selari dengan konsep utama majlis tersebut iaitu "Kayangan". Oleh itu stail fotografi, baik untuk sebelum majlis hinggalah pos-majlis semuanya berkonsepkan “Kayangan”.
GUA : Apakah cabaran utama untuk merealisasikan tema dan konsep tersebut ?
SAIFUL : Ada dua pilihan sahaja untuk kami melaksanakan konsep ini. Pertama, kami perlu semua ke kayangan untuk sesi fotografi atau pun memperluadakan sesuatu yang tiada kepada ada. Untuk kali pertamanya, CandidSyndrome bergabung secara teknikal dengan pakar manipulasi foto yang boleh disifatkan antara yang terbaik di dunia dengan nama komersil Kukubesi Manipulasi. Percantuman ini antara Photo-realisme dan Surrelism, kami berada di pertengahannya.
GUA : Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sememangnya dikenali sebagai peragawan dan tentunya beliau tiada masalah berdepan dengan kamera, namun bagaimana pula dengan Dr. Halina ?
SAIFUL : Ya, Sheikh Muszaphar memang ada kelebihan terutamanya wajah beliau lebih sesuai kepada shot yang lebih elegan seperti iklan Hugo Boss atau Dunhill tetapi ini ialah penggambaran ini adalah untuk “pre-wedding portrait”, maka beliau perlu menonjolkan perwatakan lebih natural dan original dan bukannya yang dibuat-buat. Sama juga seperti Halina yang telah memberikan kerjasama yang amat baik. Halina sudah pasti dengan gaya fotografi Candidsyndrome sebelum ini maka ia mengurangkan sedikit masalah.
GUA : Bagaimana saudara melihat keserasian mereka di hadapan lensa kamera?
SAIFUL : Tidak dinafikan, Halina masih kekok. Kami sudah biasa berdepan dengan subjek yang kekok dan tidak biasa dengan lensa kamera. Ia sudah sememangnya kerja yang perlu kami hadapi setiap minggu. Cuma mungkin minggu ini, kami mendapat subjek yang sudah biasa dengan kamera dan tidak seperti kebanyakan klien kami.
GUA : Berapakah bilangan jurukamera yang bakal bertugas untuk merakamkan keseluruhan majlis tersebut?
SAIFUL : Kami bukan sahaja menjadi jurugambar rasmi malah juruvideo rasmi untuk majlis tersebut.
Seramai 10 orang jurugambar dan 10 orang krew video dari dalam Malaysia bakal terlibat dan kami terpaksa juga mengimport pasukan jurugambar dan video kami serta beberapa rakan industri kami di Brunei untuk turut sama hadir menjayakan rakaman bersejarah ini. Selain itu, 5 orang pegawai bertugas turut dipilih untuk menyelesaikan kerja-kerja di belakang tabir.
GUA : Bagaimana pula dengan kepuasan tugas merakam foto untuk majlis perkahwinan ini berbanding majlis “Merdeka Raksasa”,majlis perkahwinan anakanda Sultan Brunei dan lain-lain?
SAIFUL : Ternyata kesemua majlis yang disebutkan itu semuanya majlis mega. Setiap darinya adalah unik. Dan saya pasti majlis perkahwinan Dr Sheikh Muszaphar Shukor juga akan menjanjikan sesuatu kelainan juga.
GUA : Apakah perbezaan paling utama tugas merakam majlis perkahwinan Dr. Sheikh Muszaphar dengan majlis perkahwinan penyanyi Ning Baizura ? Dari segi konsep, cara kerja dan lain-lain.
SAIFUL : Konsep perkahwinan Ning Baizura lebih kepada konsep kampung memandangkan Omar Shariff ialah seorang lelaki kulit putih yang perlu diperkenalkan dengan nilai-nilai kampung yang ada hubungan dengan subjek. Oleh itu, jika majlis perkahwinan seorang angkasawan kita buat tema yang sama, ia akan menjadi janggal. Jadi kami pilih tema yang bersesuaian dengan hidup angkasawan tersebut. Pada mulanya, kami mahu menghasilkan gambar “rocket launcher” di bahagian latar belakang tetapi nanti kelihatan kurang sesuai pula. Alang-alang mahukan sesuatu yang fantasi, kami berpendapat untuk menjadikan keseluruhannya seperti satu fantasi.
Pada mulanya konsep kayangan ni kita dah recce untuk buat pengambaran di Rajasthan India, berlatarkan kota-kota raja purba yang tersergam indah di tepi-tepi tasik dan padang pasir. Tetapi dengan kesibukan Datuk dan juga beberapa faktor lain, idea itu terpaksa di kuburkan.
GUA : Bagaimana cara Dr Sheikh Muszaphar memilih Candidsyndrome untuk majlisnya? Berapa pula kos tajaan secara keseluruhannya?
SAIFUL : Sebenarnya ia berlaku sejak tahun lepas lagi. Menariknya apabila lebih 100 jurufoto dan juruvideo yang menawarkan penajaan namun Sheikh Muszaphar memilih kami, Candidsyndrome. Kos penajaan untuk keseluruhan majlis bernilai RM85,000 untuk fotografi dan video.
GUA : Ceritakan sedikit mengenai tugas menyiapkan “pre-wedding portrait” itu?
SAIFUL : Lokasi penggambaran adalah di atas Bukit Broga di Semenyih. Kami mula mendaki seawal pukul 4 pagi dan mengambil masa hampir 1 jam untuk sampai ke puncak. Saja memilih awal pagi kerana suasananya lebih nyaman dan kalau kami pergi lewat aka nada lagi ramai orang. Nanti tidak jadi kerja, Dr. asyik sign autograph saja.
Konsep itu dibuat sangat “last-minute”. Kami hanya menerima notis dalam tempoh 3 hari sahaja. Hasilnya kami terpaksa menggabungkan jurugambar haluan komersil (CS) dan haluan kiri (kukubesi) untuk tujuan tersebut.
Saya terlibat secara langsung sebagai Pengarah Fotografi, Pengarah Manipulasi pula ialah Kukubesi. Manakala idea dan konsep semuanya datang dari CandidSyndrome dan pencahayaan dilakukan Anan Amri.
Konsep fantasi dalam potret pra-perkahwinan ini yang pertama di Malaysia dan bakal menjadi trend akan datang. Masih ingat dulu kami mengambil gambar Ning bersama suaminya di atas motor Vespa di tepi bendang, selepas majlis tersebut bergambar di tepi bendang menjadi trend dan sudah pun menjadi overrated.
GUA : Setelah berjaya merakamkan pelbagai acara mega, apakah lagi subjek yang ingin anda lakukan? Ada impian lain? Ada lagi acara yang pelik-pelik selepas ini?
SAIFUL : Pastinya jika diberi peluang, kami mahukan peluang fotografi untuk artis-artis Hollywood ataupun Bollywood dengan tema-tema yang terkait rapat dengan hidup mereka. Kami (CandidSyndrome) bukan sebuah syarikat fotografi stereotaip yang ambil gambar di tempat-tempat cantik seperti tasik atau pun taman bunga untuk mendapatkan gambar yang cantik tetapi kami mengambilkira keunikan dan maksud gambar itu dengan subjek supaya selepas itu akan ada apresiasi kepada "nilai" dan bukan "astetik".
GUA : Saudara dikenali serata dunia kerana fotografi, adakah ia akan membuatkan saudara "besar kepala"? Hahaha! Macam interview artis lah pulak!
SAIFUL : Hahahaha! Saya rasa saya tidak berubah apa-apa dari dahulu sampailah sekarang. Cuma kadang-kadang bukan dulu kita tidak pernah celupar mulut, cuma dulu bila kita cakap, kutuk atau tegur orang, tiada siapa yang mahu ambil peduli atau pun dengar. Sekarang bila kita cakap, sudah ada ramai orang pasang telinga. Kalau orang lain mengutuk orang dalam Facebook, orang nampak itu macam bergurau walaupun dia betul-betul mengutuk. Berbeza kalau saya bergurau dalam Facebook atau mana-mana tempat, orang akan cakap saya mengutuk walaupun sebenarnya saya bergurau. Keadaan sudah banyak berubah, hidup pun kena berubah sikit lah. Tapi tu kan cabaran.
GUA : Apakah moto kerja Candidsyndrome?
SAIFUL : Kreatif, Kerjasama dan Kelainan
Selamat menjalankan tugas Ahad ini!
Kredit Foto : www.candidsyndrome.com


