Lisdawati Sambut Lebaran Di Rumah Baru

10 Sep 2010, 07:44pm   |     |    Utama > HIBURAN > TEMUBUAL >
Kongsi Article Ini:

Jika selebriti lain lebih senang menyambut Aidilfitri di kampung halaman masing-masing, namun berbeza buat pelakon cantik Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi apabila mengambil keputusan untuk berhari raya di Kuala Lumpur sahaja.

 

Semuanya gara-gara perasaan teruja kerana baru memiliki sebuah kediaman baru yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur dan boleh dikatakan amat selesa untuk kehidupan mereka sekeluarga.

 

Mengakui bukan mudah untuk memiliki kediaman tersebut, Lisdawati memberitahu ianya adalah hasil titik peluh mereka berdua setelah sekian lama bergelut di dalam industri seni.

 

"Sebelum ini kami sekeluarga tinggal di Setapak. Kini apabila rezeki murah dan hasil berjimat cermat, kami mampu membeli sebuah rumah yang agak selesa walaupun tidak mewah.

 

"Oleh sebab itu kami mengambil keputusan untuk berhari raya di kediaman baru kerana mahu merasai pengalaman berhari raya di rumah sendiri," ujar Lisdawati yang mula diperkenalkan di dalam dunia lakonan melalui filem KL Menjerit.

 

Pelakon tinggi lampai itu walau bagaimanapun memberitahu, persiapan menyambut Aidilfitri hanya dilakukan secara sederhana. Malah keutamaan lebih diberikan kepada anak tunggalnya.

 

Tambahnya sejak dahulu lagi dia telah mengimpikan sebuah kediaman yang agak luas dan kini hajatnya sudah terlaksana. Namun rumah yang baru diduduki itu masih banyak yang perlu diubahsuai demi keselesaan mereka sekeluarga.

 

"Semenjak bertunang saya dan suami telah merancang untuk membeli sebuah rumah. Sebelum ini kami tinggal di kondominium dan ruangnya agak sempit. Ini kerana kami berdua mempunyai banyak koleksi pakaian untuk disimpan.

 

"Anak juga tiada tempat yang selesa untuk bermain. Dengan rumah baru di Cheras iaitu rumah jenis teres tiga tingkat, kami dapat menyediakan sebuah bilik untuk anak bermain dan sebuah bilik pakaian kami berdua.

 

"Saya akui untuk memiliki rumah itu, kami berdua perlu berusaha keras. Saya selalu nasihatkan rakan-rakan artis agar membeli rumah sementara pendapatan dalam dunia lakonan masih baik.

 

"Ini kerana saya tidak mahu golongan pelakon apabila sudah tua terpaksa merempat kerana tiada kediaman sendiri. Ini kerana bekerja sebagai pelakon, ada masanya memang mendapat pendapatan yang lumayan. Jadi apa salahnya simpan sedikit dan uruskan duit tersebut dengan baik.

 

"Pada saya daripada membeli kereta mewah, lebih baik beli rumah sebagai persediaan masa depan," ujar Lisdawati yang sangat berjimat cermat dalam menguruskan kewangan keluarga.

 

Tolak watak heroin

 

Bercerita mengenai kerjaya lakonannya kini, Lisdawati memberitahu dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Ular Emas yang kini sedang hangat ditayangkan di TV9.

 

Katanya di dalam drama tersebut dia membawakan watak sebagai Ular Hitam yang mempunyai hati yang busuk.

 

Walaupun membawakan watak yang jahat, namun Lisdawati mengakui dia puas dapat melakonkan watak tersebut yang disifatkan sangat berbeza daripada kebanyakan watak yang pernah dilakonkannya.

 

"Sebelum Yatt ditawarkan menjadi pelakon utama drama ini, penerbit telah meminta saya melakonkannya. Namun saya yang telah membaca skrip drama ini lebih tertarik dengan watak Ular Hitam dan segera menolak tawaran yang diberikan itu.

 

"Walaupun Ular Hitam bukan watak utama namun saya suka kerana saya boleh berkarya dengan watak itu. Ini kerana sebelum ini penerbit dan pengarah kurang yakin dengan bakat saya lantaran air muka saya yang lebih sesuai membawakan watak wanita baik.

 

"Namun melalui Ular Hitam saya bebas melakukan apa sahaja agar watak tersebut benar-benar akan diingati penonton. Saya juga banyak mencari rujukan sendiri agar apa yang saya lakukan menepati kehendak karektor.

 

"Contohnya dalam drama ini saya memakai pelbagai warna kanta lekap. Ada yang berwarna merah, hijau dan biru. Sebabnya ular setiap kali bertukar kulit, warna warnanya juga turut berubah. Selain itu jika seekor ular berasa terancam atau marah, ia juga akan menukar warna matanya," katanya.

 

Lisdawati yang kini bergelar duta produk tuala wanita 'She' turut memberitahu selepas ini dia mengimpikan watak sebagai nenek kebayan atau seorang tomboi. Namun katanya dia tidak pasti bila watak sebegitu akan ditawarkan kepadanya.

 

"Jika sebelum ini penonton sering melihat lakonan saya agak sama, namun persepsi mereka mula berubah apabila saya berlakon dalam drama Anak-Anak Lorong dan 21 Hari. Melalui Anak-Anak Lorong saya menjadi pelacur dan dalam drama 21 Hari saya menjadi seorang penculik.

 

"Respon yang saya terima daripada peminat sangat positif dan saya harap Ular Hitam juga akan menerima respon yang sama apabila ditayangkan kelak," katanya yang juga merupakan duta produk Jonhson & Johnson serta jurucakap pusat pelansingan badan, Slimworld.

Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad