Zamani Akui Serik Bercinta
Suatu ketika dahulu namanya cukup popular. Siapa yang tidak kenal dengan Zamani Slam? Dia di antara vokalis yang menjadi pujaan ramai peminat wanita. Selain memilik vokal yang lunak merdu, paras rupanya yang tampan juga digilai ramai. Namun, itu semua kisah dahulu, kini nama Zamani semakin dilupakan.
Sehingga kini, lelaki yang bakal menyambut harijadi ke 40 tahun pada 25 Mei ini dilihat masih sendiri. Tiada wanita yang dikaitkan dengan dirinya. Mungkinkah Zamani sudah serik untuk bercinta? Maklumlah, sebelum ini dia dikatakan sangat kecewa apabila percintaannya dengan seorang penyanyi wanita popular terputus di tengah jalan.
Peluang bertemu dengan Zamani baru-baru ini memberi kesempatan untuk mengetahui status dirinya sekarang ini. Jelas Zamani, sehingga kini dia masih solo.
“Bukan tidak mahu mempunyai teman hidup. Tetapi, saya masih belum jumpa yang sesuai. Bukan kerana terlalu memilih, tetapi saya bimbang wanita yang tidak boleh terima diri saya seadanya. Walaupun umur saya akan menginjak ke 40 tahun, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki. Takut tidak mampu jaga orang lain,” ujar Zamani berterus-terang.
Dalam masa yang sama, Zamani juga mengakui yang dia agak serik untuk bercinta lagi. Menurut Zamani, pengalaman lalu membuatkan dia terlalu berhati-hati.
“Saya tidak nafikan kegagalan bercinta sebelum ini membuatkan saya kecewa dan agak serik untuk bercinta lagi. Bukan mudah untuk melupakan perkara lalu. Tetapi, ini bukan bermakna saya terlalu memilih dalam mencari pasangan hidup. Apa yang saya mahukan hanyalah seorang wanita yang memahami dan menyayangi diri ini. Selain itu, wanita itu juga perlu yakin yang saya boleh membahagiakan dirinya,” tambah Zamani lagi.
Mengulas tentang berat badannya yang semakin susut pula, Zamani memberitahu dia pun tidak pasti sama ada berat badannya benar-benar semakin susut atau sebaliknya. Bagaimanapun, dia menegaskan yang dia kini sihat.
“Selepas pembedahan batu karang tempoh hari, kesihatan saya sudah semakin baik. Kalau orang kata saya semakin kurus, saya pun tidak pasti. Saya rasa berat badan saya sama saja macam sebelum ini,” ujar Zamani yang merancang untuk melancarkan semula album mini terbarunya berjudul ‘Terima Kasih’.
Album yang sudah berada di pasaran ini mengandungi lima buah lagu baru iaitu Daftar Cinta, Angin Cinta, Asyik Melagukan, Sewaktu Jendela Terbuka, dan juga Terima Kasih.


