Aura Cinta Kura-Kura Menyerlah!

21 Feb 2012, 10:54am   |     |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Kongsi Article Ini:

Genre komedi kembali menjengah pawagam seluruh Malaysia Mac ini menerusi filem Cinta Kura-Kura terbitan KRU Studios. Kali terakhir genre ini berjaya mencipta fenomena adalah menerusi filem hantu Kak Limah Balik Rumah arahan Mamat Khalid.

GUA pasti ramai kaki wayang di luar sana teruja untuk menyaksikan buah tangan KRU Studios kali ini melihatkan pencapaian KRU Studios sebelum ini yang merangkul pelbagai anugerah. Terbaru menerusi naskhah Magika yang merangkul filem terbaik Anugerah Skrin 2011 dan Hikayat Merong Mahawangsa, yang diangkat menjadi Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke 24.

Berani menonjolkan idea segar dan menarik, kali ini pengarah berbakat besar, Nizam Zakaria tampil dengan sebuah karya yang sememangnya sesuai ditonton seluruh lapisan masyarakat. Pengkisahan cerita rakyat Sang Arnab dan Kura-Kura diinterpretasi secara berbeza ke dalam filem arahan beliau.

Elemen komedi yang menjadi tunjang filem ini semestinya membuatkan anda tidak kering gusi.
Pemilihan pelakon yang mantap dan bersesuaian dengan keperluan karakter dalam filem ini juga menghidupkan keseluruhan jalan ceritanya. Zizan Razak yang diberi mandat melakonkan watak Si kura-kura bijak Nico berjaya melunaskan tugasnya dengan baik. GUA boleh katakan Zizan selayaknya digelar bintang untuk filem itu.

Karakter Nico yang bersahaja ditambah dengan lawak Zizan yang lari dari tipikal lawak beliau membuatkan watak Nico menjadi tumpuan. Walaupun hanya menggunakan suara beliau dalam filem ini, Zizan membuktikan bakat lakonan itu tidak semestinya dilihat dari sudut visual namun roh lakonan tersebut perlu ditunjukkan melalui intonasi dan gaya suara khususnya dalam menyerlahkan karakter Nico.

Penampilan Aeril Zafrel dan Tiz Zaqyah sebagai pelakon utama boleh dikatakan menjadi. Tiz yang sebelum ini terkenal dengan watak melankoliknya di dalam drama seperti Nur Kasih kali ini menunjukkan sisi berbeza beliau. Karakter Nani yang ceria disampaikan Tiz dengan cara tersendiri dan nampak begitu ‘natural’. Aeril pula yang sebelum ini pernah membintangi filem Aku Tak Bodoh menyempurnakan karakter Adam dengan baik. Watak lelaki lurus, lembab tetapi jujur dilakonkan dengan cemerlang oleh anak muda ini.

Penampilan Usop Wilcha dan Fara Fauzana dalam filem ini turut menambah rencah penceritaan ringkas tetapi bermakna filem komedi ini. Namun apa yang menjadi perhatian GUA ialah kemunculan pelakon Noryati Taib sebagai ibu kepada Adam amat menggamit hati penonton. Bayangkan seorang ibu yang kuat berleter namun  sesekali digamatkan degan jenaka bersahaja beliau. Penampilan Bob Yusof sebagai abang kepada Nani turut mencuit hati penonton dengan lagak Bob sebagai penyanyi nasyid yang ditransformasi menjadi penyanyi Rock. Lakonan Fizz Fairuz sebagai watak antagonis filem ini juga melengkapkan karya hebat ini.

Dari sudut penceritaan pula, GUA rasakan filem ini berjaya memberi kefahaman tentang nilai kemasyarakatan yang perlu ada dalam hidup kita sebagai seorang manusia. Semangat kejiranan antara Adam dan Nani, sehingga membawa kepada bibit percintaan sehinggalah kepada nilai kemanusiaan sejagat yang memaparkan hubungan manusia dan haiwan telah diolah dengan cemerlang oleh Nizam Zakaria.

Teknik CGI yang digunakan juga kelihatan nyata. Sebagai sebuah karya yang pertama seumpamanya di Malaysia, pujian seharusnya diberikan buat seluruh warga produksi Cinta Kura-Kura. Ibu bapa yang sedang mencari filem apakah yang ingin ditonton bersama anak-anak, GUA tidak teragak-agak mencadangkan anda menonton filem ini. Komedi yang sarat dengan pengajaran buat tatapan sekalian insan.

Untuk anda yang inginkan sebuah karya komedi segar yang membuatkan setiap sen anda berbaloi, Cinta Kura-Kura merupakan filem terbaik untuk anda tonton. GUA yakin formula saudara Nizam Zakaria kali ini bukan sahaja mampu membuahkan hasil yang lumayan, tetapi berjaya menghiburkan peminat yang menontonnya. Jangan lupa menonton Cinta Kura-Kura bermula 1 Mac ini di seluruh pawagam tanahair!

Sinopsis

Adam (Aeril Zafrel) seorang pemuda yang lurus tinggal berjiran dengan Nani (Tiz Zaqyah) dan abangnya Amin (Bob Yusof). Persahabatan yang mula terjalin akhirnya membuahkan rasa cinta antara mereka berdua. Nani yang juga merupakan seorang pereka grafik memelihara seekor kura-kura yang bijak dan boleh bercakap, Nico (suara oleh Zizan Razak) .

Nico yang tidak menyukai Adam rapat dengan Nani, mengharapkan Fadzly (Fizz Fairuz), seorang pemilik kedai haiwan menjadi pasangan hidup tuannya. Namun tanpa disedari, Fadlzy mempunyai niat jahat untuk menjual Nico sebagai makanan eksotik di sebuah restoran. Berjayakah Adam memiliki Nani? Apakah nasib Nico? Semuanya dapat disaksikan dalam Cinta Kura-Kura.

Pengarah : Nizam Zakaria

Pelakon : Aeril Zafrel, Tiz Zaqyah, Zizan Razak, Usop Wilcha, Fara Fauzana, Fizz Fairuz, Bob Yusof, Harun Salim Bachik, Tauke Raja Lawak, Noryati Taib, Daus AF 8

Rating : 4/5 bintang

Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)