Batman Beri Kesan Emosi Yang Mendalam
Seminggu ditayangkan di pawagam seluruh negara, filem arahan Christopher Nolan ini mendapat maklum balas yang cukup memberangsangkan. Ramai menganggap penamat cerita hero kegemaran ramai ini mempunyai plot yang cukup baik dan paling penting, kesudahannya disukai ramai.
Bagi GUA, filem sekuel ketiga arahan Nolan selepas Batman Begins pada 2005 dan The Dark Knight 2008 ini sangat memuaskan hati dan peluang menontonnya tidak harus dilepaskan.
Percayalah, naskah ini memberi momentum yang cukup mengkagumkan. Bahkan, memberikan kesan emosi cukup mendalam. Paling penting, jalan ceritanya mempamerkan keintelektualan penulis skrip dan juga lakon layar.

Berbeza dengan sekuel terdahulu, kali ini penonton diperkenalkan dengan penjahat baru, Bane, yang mahu memusnahkan Gotham City kerana dendam. Watak lakonan Tom Hardy ini tidak seperti musuh utama Batman sebelum ini, Joker, yang menjengkelkan dan suka berlawak, tetapi Bane seorang yang tegas, teratur dan penuh dengan kejutan. Pemakaian topeng mulut dan suaranya yang unik menambah misteri kepada watak ini. GUA sendiri tercari-cari jawapan tentang penampilan Bane ini. Namun, jawapannya hanya boleh diketahui pada penghujung cerita, dan jangan terkejut kalau anda terpedaya dengan plot cerita.
Menyentuh penampilan Anne Hathaway sebagai sebagai Selena Kyle atau Catwoman, GUA rasa heroin The Princess Diaries berjaya membawa watak ini dengan baik. Dia nampak selesa dengan kostum Catwomen serta tidak kekok menunggang motosikal berkuasa besar milik Batman.
Bagi yang belum menonton filem pecah panggung ini, di sini GUA ceritakan sedikit jalan cerita Batman: The Dark Knight Rises. Ia mengisahkan Gotham City menuju kehancuran selepas diserang oleh pengganas, Bane serta kuncu-kuncunya. Pihak polis terpaksa memerangi keganasan ini tanpa kehadiran Batman kerana Bruce Wayne telah mengasingkan diri dari dunia luar dan Batman menjadi buruan polis kerana dipercayai membunuh Harvey Dent pada sekuel sebelum ini.

Sepanjang lapan tahun selepas peristiwa tersebut berlaku, penjenayah berbahaya berjaya dihumbankan ke penjara dengan wujudnya Akt Dent, lantas mengurangkan jenayah di bandar Gotham. Namun, kemunculan Bane memaksa Bruce memakai kostumnya semula apabila dia turut menjadi sasaran utama penjahat.
Filem : Batman : The Dark Knight Rises
Dibintangi oleh : Christian Bale, Anne Hathaway, Morgan Freeman, Michael Caine, Marion Cotillard
Genre : Aksi / Fiksyen
Rating : 4/5
Info : Penggambaran filem ini dilakukan di pelbagai lokasi seperti New York, London, New Jersey, Glasgow, dan Los Angeles. Bagi memaksimumkan kualiti gambar, filem ini menggunakan kamera berprestasi tinggi, IMAX (motion picture film format) sepanjang tempoh penggambaran.


