Bila Al-Hijab Dibuka...

6 Oct 2011, 12:00am   |     |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Kongsi Article Ini:

Al-Hijab adalah buah tangan terbaru daripada pengarah muda, Pierre Andre. Jangan salah faham, Al-Hijab bukan bercerita tentang tudung atau tutup kepala, tetapi ia sebenarnya  berkaitan dengan mata. Al-Hijab adalah perkataan Arab yang membawa maksud sebagai tirai atau dinding penghalang.

Seperti filem-filem seram karya Pierre terdahulu,  filem ini juga mempunyai auranya tersendiri. Lebih-lebih lagi ia dikatakan berdasarkan pengalaman Pierre  yang ‘mudah’ ternampak kelibat makhlus halus. Walaupun tidak ramai pelakon yang terlibat, namun kisah yang dipaparkan cukup seram dan mendebarkan. GUA sendiri tidak henti-henti menutup mata dengan selendang kerana tidak mampu menyaksikan adegan seram yang dipaparkan.

Menurut Pierre, filem ini bukanlah dihasilkan semata-mata untuk menakutkan penonton tetapi ada pengisian yang ingin disampaikan. Dia mahu mereka yang tidak mempercayai kewujudan makhluk halus sedar yang makhluk ini sebenarnya wujud. Cuma ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Mengulas tentang lakonan heroin filem ini, Nur Fathia, GUA rasa lakonannya agak goyah kerana dia nampak kurang penghayatan. Mungkin kerana ini projek filemnya yang pertama. Tentang lakonan Pierre, rasanya ramai yang sudah tahu, anak kepada Khatijah Tan ini mampu berlakon dengan baik. Kalau tidak, masakan dia dicalonkan untuk anugerah Pelakon Lelaki Terbaik  di Festival Filem Malaysia Ke 20 dengan filem Jangan Pandang Belakang.

Secara keseluruhan, GUA berpendapat, Al-Hijab boleh dimasukkan di dalam senarai filem pilihan hujung minggu anda. Namun, kalau anda memang penakut atau lemah semangat, baik lupakan sahaja. Bimbang nanti tidak boleh tidur seminggu kerana terbayang-bayang ada hantu yang mengekori!

Al-Hijab mengisahkan tentang Rafael, seorang pelakon yang tidak mempercayai kewujudan hantu. Suatu hari dia ditawarkan watak utama  untuk membintangi sebuah filem seram. Dia yang terkejut dengan tawaran tersebut sangat teruja dan berusaha untuk menjiwai peranan itu sebaik mungkin. Malangnya Rafael tidak berjaya memperolehi perasaan takut yang dapat memuaskan hatinya. Puas dia berkunjung ke tempat-tempat yang dikatakan berhantu tetapi tidak pernah melihat kelibat makhluk itu.

Teman wanita Rafael, Qiss yang pelik dengan Rafael itu mengadu perkara tersebut kepada ibunya. Ibu Qiss kemudiannya memberitahu Rafael mengenai apa itu hijab. Jelasnya Rafael boleh  melihat makhlus halus jika hijabnya dibuka. Namun, hanya orang tertentu saja mampu membuka hijab tersebut.

Rafael yang semakin buntu mencari seseorang yang boleh membuka hijabnya akhirnya menerima mesej aneh yang mengarahkan dia untuk pergi ke suatu tempat. Sejurus sampai di tempat yang dikatakan, Rafael disambut oleh seorang makcik tua bersama anak perempuannya. Rafael hairan bagaimana makcik tua itu mengetahui hajatnya untuk membuka hijabnya.

Rafael dibawa ke suatu tempat di ceruk hutan. Di situ makcik tua tersebut mula membuka hijab Rafael. Dari pandangan yang kabur, perlahan demi perlahan akhirnya Rafael dapat melihat sesuatu yang menggerunkan. Dia berasa cukup gembira berbaur takut. Rafael meminta masa sehari untuk dia menggunakan ‘kelebihan’ yang ada pada dirinya itu untuk tujuan menjiwai watak lakonannya. Pulang ke rumahnya, Rafael tidak menyedari ada ‘sesuatu’ yang turut menumpangnya pulang.

Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad