Bridesmaids, Cemburu Seorang Sahabat
Filem ini tidak menampilkan pelakon tersohor tetapi pengisian skrip penuh dengan pengajaran. Pelakon utamanya, Kristen Wiig menulis sendiri skrip dengan teman baiknya Annie Mumolo. Isu mahu dibangkitkan sama sahaja seperti beberapa filem sebelum ini tetapi Bridesmaids menghidangkan komedi yang berbeza. Kiranya penulis berani mempamerkan sifat-sifat semula jadi ada pada wanita yang tersembunyi termasuk rasa cemburu, iri hati, tamak, bongkak dan pentingkan diri sendiri.
Watak Annie mewakili sifat lemah wanita apabila berdepan dengan lelaki. Dia membiarkan dirinya dijadikan alat oleh lelaki hanya kerana dia seorang kacak, berkerja, punya rumah mewah dan kereta mahal. Kiranya lelaki cukup sempurna untuk hidup senang hingga menutup segala sifat buruknya. Sehinggalah Annie bertemu polis peronda yang serba sederhana tetapi bertanggungjawab dan realisitik.

Kekosongan jiwa Annie akibat lelaki dan kerjaya tidak menentu membuatkan hidupnya kucar-kacir. Dia pernah membuka kedai kek bersama teman lelaki tetapi ditutup setelah ditinggalkan. Dia akhirnya bekerja di kedai aksesori sahabat ibunya. Tinggal pula serumah dengan pasangan adik-beradik aneh.
Keadaan jadi bertambah buruk apabila teman baiknya Lillian mengumumkan dia dilamar teman lelaki. Annie melepaskan bebanan hatinya pada setiap acara dilangsungkan untuk Lillian. Terutama kepada teman baru Lillian yang hidupnya lebih sempurna dan cantik, Helen. Malah, setiap watak pengapit lain punya kisah tersendiri.

Bridesmaids akhirnya menampilkan watak lucu wanita kerana selama ini kita melihat lelaki menguasai filem komedi. Walaupun ada beberapa adegan tidak ingin kita lihat seperti ketika mereka keracunan makanan di butik tetapi himpunan pengajarannya sangat bererti. Bagaimana Annie berjauh hati kerana melihat keakraban Lillian dengan sahabat barunya Helen akhirnya dapat diatasi. Jangan lupa ke pawagam untuk menonton Bridesmaids bermula 8 September 2011. Pastinya anda takkan kering gusi.



