Despicable Me!

13 Jul 2010, 02:55pm   |   Miss Ayu  |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Despicable Me!
Kongsi Article Ini:

Ulasan:

Jika dihitung-hitung, tahun ini memang sudah banyak kali GUA menonton wayang dalam versi 3D. Filem versi ini memang mampu menarik penonton ke pawagam kerana ia memberikan pengalaman menonton yang lebih menyeronokkan.

 

Selepas ‘How To Train Your Dragon’, ‘Shrek Forever After’ dan ‘Toy Story 3’, kini tiba giliran ‘Despicable Me’ memasuki pawagam. Filem animasi terbitan Universal Pictures ini perlu anda tonton sekiranya anda suka dengan ‘Finding Nemo’ dan ‘Up!’ Sebabnya, filem arahan Pierre Coffin dan Chris Renaud ini cukup mencuit hati serta membawa mesej kekeluargaan yang menyentuh hati.

 

Kisah bermula apabila penduduk dunia menyedari tentang kehilangan Piramid Giza yang tidak diketahui ke mana hilangnya. Dalam kekecohan itu, penonton terus dibawa berkenalan dengan Gru (Steve Carrell), individu yang dipercayai menjadi dalang kepada insiden menggemparkan itu. Gru seorang lelaki yang hidup berseorangan dan sering berbuat jahat kepada orang di sekelilingnya.

 

Bagaimanapun, Gru sebenarnya tidak ada kena-mengena dengan kehilangan piramid itu. Kejadian itu telah mencabar Gru yang tidak mahu ada orang mengatasi dirinya sebagai penjenayah terhebat. Lantas, Gru membuat rancangan untuk mencuri bulan. Semua rancangan itu disusun dan digerakkan di makmal bawah tanah di kediamannya.

 

Dalam usahanya menjayakan rancangan itu, Gru terpaksa bersaing dengan Vector (Jason Segel), yang turut memasang impian menjadi penjahat terhebat. Gru berasa tertekan kerana Vector memiliki alat yang mampu mengecilkan saiz sesuatu objek. Alat itu amat diperlukan untuk dia mencuri bulan.

 

Bagi mendapatkan alat tersebut, Gru telah menggunakan pelbagai helah untuk menembusi kubu Vector, namun semua usahanya gagal sehinggalah Gru menggunakan tiga anak angkatnya, Margo (Miranda Consgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher) untuk memperdayakan Vector.

 

Dalam kesibukkannya mengatur strategi, Gru mula merasakan perubahan dalam dirinya apabila dia mula menyayangi anak-anak angkatnya. Sedangkan niatnya sebelum ini hanya untuk mempergunakan anak-anak yatim itu. Apabila dia semakin hilang tumpuan, pembantunya telah mengembalikan Margo, Edith dan Agnes ke rumah anak yatim semula.

 

Ketika inilah penonton mula bersimpati kepada Gru kerana dia mula merindui saat-saatnya bersama ketiga-tiga anak angkatnya itu. Kedegilan dan sifat keras hatinya tenyata bisa dileburkan dengan kasih sayang. Sifat-sifat kebapaan jelas terlihat di dalam diri Gru. Malah, Gru mula melihat kehidupannya daripada perspektif lain. 

 

Tahniah GUA ucapkan kepada dua orang penulis filem ini, Ken Daurio dan Cinco Paul yang berjaya menjalin unsur komedi dan mesej serius. Dalam banyak-banyak karektor yang diperkenalkan, GUA paling suka dengan watak ‘orang kuning’ yang menjadi jentera makmal Gru. Comel dan kelakar! Selain itu, watak Margo, Edith dan Agnes juga mempesona. 

 

Satu kekurangan filem ini kepada GUA ialah efek 3Dnya yang tidak memuaskan hati. Tidak banyak bezanya jika ditonton dalam versi 2D. Penerbit seolah-olah hanya mahu mengikut ‘trend’ di mana banyak filem dihasilkan dalam 3D sekarang ini. Sekadar buat syarat!