Di Sebalik Tembok Penjara Dalam Short Eyes

18 Mar 2011, 11:42am   |   sultanmuzaffar  |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Di Sebalik Tembok Penjara Dalam Short Eyes
Kongsi Article Ini:

Masih dipentaskan di The Actors’ Studio Lot 10, Kuala Lumpur, teater Short Eyes yang diarahkan Fared Ayam merupakan sebuah drama yang menggambarkan kehidupan masyarakat minoriti. Short Eyes merupakan sebuah naskhah drama yang ditulis oleh Miguel Pinero pada tahun 1974.

 

Walaupun ia berlatarkan persekitaran sebuah penjara, namun segala yang berlaku mencerminkan dunia luar, yang juga mempunyai kepentingan penerimaan, nilai dan moral masyarakat. Walaupun kedua-dua dunia adalah selari, kepentingan-kepentingan ini adalah lebih tegas di dalam alam sebuah penjara.

 

Dalam pementasan ini, kita melihat watak lelaki yang memikul beban, di mana dia mesti mendapatkan sesuatu hasil daripada apa yang dilakukannya. Sepertimana watak Omar lakonan Tayanithi yang menerangkan kepada Mr. Nett (Xavier Fong) ketika dia diminta untuk berjanji supaya tidak bergaduh lagi " Saya tak boleh janji untuk perkara macam itu.. janji itu ikatan. Lelaki dalam penjara tak ada apa-apa selain janji, dan dia harus berjaga-jaga tentang siapa, bagaimana dan untuk apa dia beri janji itu.."

Apabila Clark Davis lakonan hebat oleh Zahiril Adzim ditahan atas tuduhan pesalah seks kanak-kanak/pedofil (dan dia juga merupakan seorang lelaki kulit putih kelas menengah), tahanan-tahanan lain telah menganggap dan memandang apa yang dilakukannya itu sebagai satu yang kejam. Sedangkan kumpulan tahanan ini sendiri sedang menjalani hukuman mereka, berdasarkan tuduhan dan justifikasi masyarakat dunia luar.

 

Watak-watak dalam pementasan ini terdiri daripada tahanan-tahanan dari pelbagai latarbelakang, warna kulit dan bangsa seperti orang kulit hitam (Afro-Amerika), bangsa Puerto Rico dan kulit putih. Mereka mempunyai cara mereka sendiri untuk bergaul sesama sendiri dalam kelompok masyarakat mereka sendiri.

 

Mereka juga perlu mencari jalan untuk melepaskan diri daripada terperangkap dalam kegilaan dan keserabutan mental, sama ada melalui kasih sayang, agama, keganasan, kepercayaan, dadah dan sebagainya.

Short Eyes bukan hanya satu pementasan berkenaan kehidupan dalam penjara, tetapi sebenarnya memaparkan tentang realiti kehidupan sebenar masyarakat dunia luar.

 

Realiti dan ambience penjara itu diserlahkan menerusi set dan pencahayaan yang tepat bagi menggambarkan keserabutan dunia di sebalik tembok batu dan jeriji besi.

 

Short Eyes dibintangi Zahiril Adzim, Taiyuddin Bakar, Nam Ron, Along Eyzandy, Fared Ayam, Khairunazwan Rodzy, Khairil Ridzuan K'N, Naque Ariffin, Xavier Fong dengan penampilan khas Faisal Mustaffa.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad