Ejen Perisik Ala Mr.Bean
Jika anda pengemar lawak Mr. Bean, filem yang sedang hangat di pawagam ini wajib ditonton kerana cukup menghiburkan. Johnny English Reborn adalah kesinambungan daripada Johnny English yang pertama pada tahun 2003. Bagi yang tidak pernah menonton filem pertama Johnny English, filem ini bolehlah dikatakan mengikut acuan filem James Bond tetapi dalam versi komedi.
Kepada anda yang tidak pernah menyaksikan episod pertama filem ini, GUA ingin perkenalkan watak Johnny English terlebih dahulu. Johnny English adalah seorang ejen perisikan British di MI7 dan ia cukup disegani oleh organisasinya kerana sering berjaya dalam misinya. Sesuai dengan genre filem ini, peranan yang dipegang oleh Rowan Atkinson ini penuh dengan unsur humor. Tidak kering gusi dibuatnya.
Salah satu sebab GUA suka dengan naskah arahan Oliver Parker ini ialah, pelakon-pelakon lain mampu berinteraksi dengan baik terhadap aksi komedi yang dibuat oleh Rowan Atkinson. Mereka berjaya membawakan watak masing-masing dengan baik.
Selain itu, GUA juga suka dengan watak nenek, pembunuh upahan yang menyamar sebagai pekerja pembersihan. Walaupun langsung tidak mempunyai dialog, tetapi kemunculannya meninggalkan kesan di hati penonton. Dia adalah musuh yang selalu berada berhampiran Johnny.
Secara peribadi, GUA menyukai filem ini dan ada kemungkinan besar akan menontonnya sekali lagi. Secara ringkas , kisah bermula apabila Johnny English dipanggil semula b ertugas setelah bertahun-tahun menyembunyikan diri kerana gagal dalam satu misi. Kali ini dia ditugaskan untuk mencari mereka yang berkonspirasi untuk membunuh Perdana Menteri China.
Untuk menjayakan misinya itu, Johnny telah diberi seorang pembantu dan pelbagai peralatan canggih untuk memastikan operasinya berjalan lancar. Ketika dia hampir-hampir menemui jawapan kepada semua teka-teki, Johnny telah diperangkap oleh seseorang sehingga menyebabkan dia menjadi buruan pihak berkuasa.



