Filem ...Dalam Botol Tebal Jiwa & Besar Pemikirannya
Filem sulung arahan Khir Rahman, "...Dalam Botol" boleh dianggap sebuah filem berbajet kecil yang diperbesar-besarkan kontroversinya dan akhirnya menjadi sebuah filem yang besar jiwanya.
Sudah menjadi lumrah biasa manusia untuk meletakkan isu kontroversi lebih tinggi dari melihat dan meneliti apa yang cuba disampaikan oleh pengarah menerusi ideanya yang kemudian divisualkan ke layar perak.

GUA boleh menganggap Khir sebagai seorang pengarah yang bijak dan tahu apa yang perlu dia lakukan bila mengenakan tanda nama sebagai pengarah filem. Dan apabila Khir duduk di kerusi sutradara, bermula jeritan “Action!” sehinggalah bila dia mengakhirinya dengan kalimah “Cut!”, dia sudah merangka di dalam mindanya tentang keseluruhan cerita yang mahu dipersembahkan kepada penonton.
Bijaknya Khir menyusun ceritanya bukan hanya berdasarkan dialog, malah digabungjalinkan dengan suntingan yang kemas, sentuhan visual sinematografi yang kelam, arahan seni yang cukup memikat dan garapan muzik yang melengkapkan penceritaannya. Dan akhirnya, Khir berjaya menggarap sebuah filem yang cukup ramuannya.
Lakonan Arja Lee sebagai Rubidin/Ruby melengkapkan transformasi watak yang ruang hidupnya digambarkan cukup kelam, samar dan keliru. Pembawaan watak yang berat oleh pelakon tersebut diseimbangkan oleh permainan warna oleh sinematografer dan keseluruhan visual yang digambarkan oleh penulis lakonlayar dalam suasana yang cukup simbolik, sempit dan kelam.

Beberapa adegan dalam filem ini yang boleh dianggap klasik adalah sewaktu Rubidin kembali ke kampong bertemu dengan ayahnya, lakonan mantap Jalil Hamid. Gelora emosi Jalil yang tentunya terkejut apabila anak lelakinya kembali berpakaian perempuan terserlah dan dalam masa yang sama menyimpan sesalan lalu. Tanpa dialog klise, kedua-dua watak ini mampu membuatkan penonton terpaku untuk mengetahui apa sudahnya pertemuan itu.
Dalam adegan itu GUA dapat lihat bagaimana seorang ayah akan tetap menganggap lelaki gay seperti Rubidin yang sudah menukar jantina tetap sebagai seorang anak lelaki.
Tidak keterlaluan jika GUA katakan kekuatan utama filem ini adalah dari sudut pengarahan, pengolahan lakonlayar dan visual yang tepat bagi menyokong penceritaan filem itu.
Pergerakan kamera secara “handheld” menjelaskan sesuatu pada hidup Rubidin itu sendiri. Kekaburan visual menjelaskan Rubidin sendiri tiada arah tuju dengan dibantu imej-imej sokongan yang jelas menunjukkan filem ini sesuatu yang berbeza.
Penataan muzik yang dilakukan oleh Saidah Rastam kena tepat pada setiap adegan. Kerja Saidah mengingatkan GUA pada karya-karya arahan pengarah Yasmin Ahmad yang banyak menggunakan lagu-lagu opera dan klasik untuk menjelaskan penceritaan pada sesuatu babak. Itulah juga cara yang digunakan oleh Saidah untuk filem ini. Ada ketika babak dikosongkan tanpa bunyi.

Adegan yang paling menghambat minda GUA apabila hampir ke penghujung saat Sherry lakonan mantap di kelas tersendiri Fauziah Ahmad Daud bersama anaknya, Dina lakonan Diana Danielle. Tanpa dialog sekadar permainan bahasa tubuh sudah cukup merungkai apa yang tersimpan cukup lama di dalam hati Sherry. Apa yang disimpan Sherry?
Filem ini turut membongkar sifat Melayu kerana tanpa sedar visual tahlil dan kenduri kahwin yang agak meleret sebenarnya membuka pekong golongan Melayu itu sendiri. Melayu lebih gemar kepada keraian tanpa mahu memikirkan masalah berat yang sedang melanda jiwa dua wanita, ibu Rubidin dan Dina serta ibunya.
GUA harus beri ucap tahniah kepada Khir Rahman yang faham bagaimana cara terbaik untuk menterjemah lakonlayarnya ke layar perak. Kerjanya yang pertama kali menduduki kerusi pengarah, wajar diberikan pujian. Filem ini ada “angst” yang cukup kuat.
Filem ... Dalam Botol arahan Khir Rahman membariskan pelakon seperti Wan Raja, Arja Lee, Diana Danielle, Fauziah Ahmad Daud, Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Filem ini mengisahkan hubungan cinta sejenis di antara Rubidin (Arja Lee) dan Ghaus (Wan Raja) sehingga menyebabkan Rubidin sanggup berkorban dengan mengubah identitinya kepada Ruby dengan melakukan satu pembedahan menukar jantina di London semata-mata dengan niat agar Ghaus terus menyintainya.
Malangnya, perubahan Ruby itu menyebabkan Ghaus tidak dapat menerimanya dalam keadaan fizikal seperti seorang wanita sekali gus menyingkirkan Ruby dari hidupnya. Rubidin menyesal akan perbuatannya dan membuat keputusan untuk pulang ke kampung.
Rubidin didesak agar berkahwin oleh ibunya dan dia kembali menjadi seorang lelaki yang mula jatuh cinta pada seorang gadis yang baik budi. Malangnya keadaan fizikalnya yang kini bukan lagi seorang lelaki tulen menyukarkannya mendampingi gadis yang diidamkannya.
GUA bagi 5 bintang untuk lakonlayar! Memang brilliant sekali!


