Jack & Jill Tiada Yang Istimewa
Selepas melihat poster filem ini, apa yang terlintas di fikiran anda? Jangan salah anggap, filem arahan Dennis Dugan ini bukan mengenai lelaki yang perlu menyamar sebagai seorang wanita, tetapi ia berkisar tentang pasangan kembar seiras, Jack dan Jill. Walaupun kembar, hubungan mereka tidak seakrab pasangan kembar seiras yang lain. Sebaliknya, penuh dengan konflik.
Sejujurnya, GUA tidak suka dengan watak Jill. Dia nampak seperti pondan sedangkan watak itu adalah seorang wanita sejati. Memang bukan mudah untuk Adam Sandler menjadi wanita kerana dia perlu mengubah suara, mencukur bulu kaki, dan meluangkan masa yang panjang untuk bersolek. Tetapi, ia nampak tidak logik. Terlalu kasar dan kelelakian! Memang ia sebuah filem lucu tetapi GUA berpendapat lebih baik jika Adam menjadi pasangan kembar lelaki.
Kehadiran Al-Pacino dalam filem ini agak mengejutkan kerana tidak sangka pula pelakon berkelas ‘A’ ini mahu beraksi lucu. Tetapi kalau difikir-fikirkan, itu perkara biasa bagi pelakon-pelakon Hollywood. Mereka sanggup melakonkan apa sahaja watak yang boleh mencabar kebolehan mereka. Lebih-lebih lagi kalau watak itu di luar kebiasaan.
Satu lagi perkara yang GUA tidak berapa suka dengan filem ini ialah adegan-adegan lucu yang agak menjijikkan. Bagi GUA ada di antara adegan itu diadakan secara berlebihan. Kalau tidak ada pun tidak menjadi masalah. Salah satu daripadanya ialah adegan di mana Jill sakit perut selepas pulang dari makan malam. Ketika Jill berada di dalam tandas, ada bunyi-bunyi yang agak menjijikkan.
Secara keseluruhan, GUA mengangap Jack & Jill berbaloi untuk ditonton jika anda ingin bergelak ketawa bersama teman-teman. Untuk tontonan seisi keluarga rasanya kurang sesuai jika ada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun. Ini kerana ada aksi-aksi yang agak kurang sopan.
Sebagai gambaran, Jack dan Jill mengisahkan tentang pasangan kembar seiras yang mempunyai banyak konflik kerana Jack kurang senang dengan sikap Jill yang terlalu manja, agresif dan suka meminta-minta. Kehadiran Jill di rumahnya bagi meraikan thanksgiving membuatkan Jack tidak keruan kerana Jill menjadikan keadaan kelam-kabut. Oleh kerana tidak sanggup melayan kerenah Jill yang sentiasa ingin bersamanya, Jack telah mengajar Jill mencari pasangan menerusi laman sosial di internet. Bagaimanapun, keadaan menjadi bertambah buruk apabila Jill ditinggalkan oleh pasangannya di restoran.
Bagi menebuskan kekecewaan Jill, Jac telah membawanya menonton ke perlawanan bola keranjang dan bermula dari detik itu, Jill menjadi buruan Al-Pacino yang jatuh cinta kepadanya. Namun, Jill tidak punya hati terhadap pelakon popular itu. Satu insiden telah memaksa Jack menyamar sebagai Jill dan ini membuatkan Jill patah hati dan kecewa.
Dibintangi oleh : Adam Sandler, Katie Holmes, Al Pacino
Genre : Komedi Drama
Rating : 5/10
Info : Sebaik ditayangkan di Hollywood, filem ini mendapat kritikan negatif daripada pengkritik-pengkritik filem. Time Magazine meletakkan Jack and Jill di tangga teratas dalam senarai ‘10 Filem Paling Teruk 2011’.


