Madagascar 3 : Europe’s Most Wanted
Alex, Marty, Gloria, dan Melman kini kembali menghangatkan pawagam setelah empat tahun menyepikan diri. Kali ini empat sekawan ini menempuh pelbagai cabaran lagi untuk pulang ke Kota New York selepas terkandas di Afrika.
Memandangkan ini kali ini filem dihasilkan dalam format 3D, pengalaman menonton menjadi lebih seronok dan menghiburkan. Kesan-kesan khas yang dicipta juga menjadi. Kalau dapat ditonton dalam format IMAX pasti lebih hebat pengalamannya. GUA suka dengan elemen warna-warni yang ditampilkan. Cukup cantik dan tidak keterlaluan kalau GUA katakan ia mencetuskan mood gembira. Paling sesuai kalau menontonnya ketika tertekan dengan bebanan tugas.
Selain itu, GUA juga suka dengan kemunculan beberapa watak baru yang comel dan melucukan. Vitaly Stefano dan Gia antara watak yang membantu menghidupkan jalan cerita. Vitaly merupakan seekor harimau Rusia yang mengetuai sekumpulan haiwan sarkas. Walaupun nampak berkeyakinan, Vitaly sebenarnya seekor harimau yang patah hati kerana satu insiden yang tidak diingini. Gia pula seekor harimau bintang cantik. Dia sentiasa ingin mempelajari sesuatu yang baru dan paling menarik, Gia dan Alex saling tertarik. Manakala Stefano, seekor singa laut yang melucukan. Setiap kali Stefano beraksi, pasti mengundang gelak-ketawa.
Seperti filem-filem animasi lain, Madagascar : Europe’s Most Wanted tidak terkecuali daripada menghidangkan lagu-lagu popular sebagai pelengkap cerita. Antara lagu-lagu yang dimuatkan ialah Gonna Make You Sweat (Everybody Dance Now), Hot in Herre, Afro Circus/I Like to Move It, Light The Hoop On Fire dan tidak ketinggaan single popular Katy Perry, Firework.
Secara keseluruhan, GUA suka lebih suka dengan sekuel ketiga ini berbanding Madagascar : Escape To Africa. Cuma, agak terkilan kerana durasinya terlalu pendek iaitu hanya 85 minit. Mungkin perkara ini disengajakan bagi membuatkan peminat tertunggu-tunggu kemunculan Madacasgar akan datang.
Jadi, tunggu apa lagi? Jom ajak rakan-rakan atau Si Dia untuk menyaksikan Madagascar : Europe’s Most Wanted di pawagam berhampiran.
Dibintangi oleh : Ben Stiller (Alex), Chris Rock (Marty) , Jada Pinkett Smith (Gloria) ,David Schwimmer (Melman), Frances McDormand, (Capitaine Chantel DuBois)
Genre : Animasi Pengembaraan
Rating : 5/5
Info :Madagascar & Madagascar: Escape 2 Africa sebelum ini meraih jualan pecah panggung lebih daripada USD1 bilion. Ini merupakan sekuel pertama dihasilkan dalam format 3D. Permainan video berdasarkan filem, Madagascar 3 telah dikeluarkan pada 5 Jun, 2012. Permainan itu membolehkan pemain untuk bermain sebagai Alex, Marty, Melman dan Gloria dalam usaha mereka melarikan diri daripada Kapten Chantel Dubois dan pulang ke New York City.


