Mutu Pengarahan Jalan Kembali Bohsia 2 Meyakinkan

7 Jun 2012, 10:47am   |     |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Kongsi Article Ini:

Jalan Kembali Bohsia 2 (JKB2) tampak sekali pandang, sebagai sebuah filem yang hanya ingin mengaut keuntungan daripada kumpulan penonton yang menggemari filem berlatarkan dunia rempit.

Namun, satu perkara yang tidak dijangka - sekurang-kurangnya oleh penulis - Syamsul Yusof, Skop Productions dan semua yang terlibat dalam pembikinan JKB2  mempersembahkan sebuah filem yang digarap dengan baik pada pelbagai aspek.

Ternyata, pengalaman dalam mengarahkan banyak filem sebelum ini (filem ketujuh Syamsul Yusof, filem ke 38 Skop Productions) membuatkan krew dan barisan pelakon JKB2 berupaya menghasilkan sebuah produk yang ‘licin’ dan hebat.

Paling penting, suntingan filem ini begitu berkesan dengan ritma yang rancak, dialog yang seperti tembakan mesingan, serta mainan emosi yang berkesan. Jangan pandang rendah JKB 2 - sememangnya antara filem terbaik tahun ini!

JKB2 mengisahkan dua bohsia - Amy (Salina Saibi) yang sedang cuba kembali ke jalan yang benar ditempatkan di Rumah Pengasih selepas kejadian di pengakhir filem Bohsia Jangan Pilih Jalan Hitam dan Tasya (Nabila Huda) yang masih hanyut dalam dunia bohsia dan rempit.

Keadaan semakin teruk buat Tasya apabila dia menjadi teman wanita Keting (Sofi Jikan) - seorang ‘raja rempit’ dan antagonis utama filem ini. Muz (Syamsul Yusof) dan E-jan (Zizan Razak) pula menjadi ‘kenderaan’ untuk menunjukkan dunia rempit yang penuh berwarna-warni.

Dalam JKB2, Muz dan E-jan masih terus dengan aktiviti lumba haram mereka, dan babak-babak ini berjaya menunjukkan keseronokan dunia rempit, sama seperti dunia rempit antarabangsa dalam siri filem The Fast and The Furious.

Kalau diketepikan elemen dunia rempit dan bohsia seperti bahasa yang menyakitkan hati, garapan kisah dan watak filem ini memang cukup kuat. Cara watak-watak utama bercakap, walaupun menggunakan slanga yang menjengkelkan, memang amat sesuai dan diadun dengan padat oleh pengarah serta penyunting filem ini.

Hasilnya, tiada satu babak pun yang membosankan, sebab ritma filem ini memang pantas dan kemas.

Watak Keting, contohnya, ditunjukkan sebagai seorang yang amat sesat, sehingga sanggup memukul seorang Pak Imam di hadapan masjid. Sofi Jikan berjaya membawakan watak Keting dengan penuh bertenaga dan penuturan dialog yang menjadi.

Selain babak di hadapan masjid, ada juga babak membabitkan berus tandas di Rumah Pengasih, menjadikan JKB2 sebuah filem untuk tontonan penonton dewasa.

Watak E-jan dan Keting adalah dua watak terbaik filem ini, dan wajar dicalonkan untuk mana-mana anugerah pelakon pembantu sebab berjaya ‘mencuri’ perhatian.

Penutup cerita JKB2 agak sedikit tidak kena sebab menggunakan elemen keIslaman yang tampak sedikit janggal dalam sebuah filem tentang dunia rempit, namun boleh dimaafkan sebab pelaksanaan cerita sepanjang filem memang bagus.

Apapun, filem ini merupakan sebuah filem yang baik pembikinannya oleh pengarah muda Syamsul Yusof. Cuma kalau diberi sepenuh kebebasan, filem ini boleh memberi lebih impak.

Sebagai contohnya, watak Pak Imam dalam skrip asal bukannya ditolak, tetapi ditendang. Namun, Dato' Yusof Haslam mengaku telah ‘menahan’ beberapa perkara yang dilakukan oleh anaknya dalam JKB2.

Jika anda penggemar filem-filem rempit, JKB2 jelas tidak menghampakan. Jika anda tidak pernah menonton filem rempit, saksikanlah buah tangan yang digilap kemas ini.

Komen Anda





Cari



JOM JOIN!

Tentang Kami | Terms Of Use
© Gua.com.my 2014 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad (272025-V)