Papa, I Love You Sentuh Emosi Penonton
Sempena musim cuti persekolahan yang tinggal beberapa hari saja lagi ini, apa kata anda luangkan masa untuk menonton filem ke-52 terbitan MIG ini. Sesuai ditonton oleh seisi keluarga, naskhah arahan Hashim Rejab ini cukup ramuannya. Filem yang diwarnai dengan elemen komedi, kasih sayang, gembira dan sedih ini digarap dengan cukup baik sekali menjadikannya sebati dan lengkap untuk ditonton.
Selain itu, ‘Papa, I Love You’ juga memaparkan syot-syot serta sinematografi yang cukup cantik, sehingga mampu membuatkan anda ‘khayal’ apabila menonton filem ini. Ada juga di beberapa babak, perasaan penulis hampir tersentuh dengan penceritaan mengenai hubungan bapa dan anak ini. Bagi GUA, pengisian skrip filem kedua arahan Hashim ini penuh dengan unsur pengajaran.
Risiko yang diambil oleh pihak produksi untuk mengetengahkan muka baru sebagai hero juga tidak merugikan. Lakonan para pelakon dalam filem ini memang tidak mengecewakan kerana semuanya berjaya membawa watak masing-masing dengan baik. Pendek kata, buah tangan pengarah filem ‘Sekali Lagi’ ini bukan saja menghiburkan, malah tidak menghampakan serta sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat.
SINOPSIS
Baha (Zalif Sidek) merupakan seorang bapa tunggal yang kematian isteri. Beliau mempunyai seorang anak tunggal iaitu Mia (Mia Sara Nasuha) yang bijak dan petah berkata-kata. Ketika arwah isterinya masih hidup, segala perbelanjaan harian keluarga ditanggung oleh isterinya. Konflik kehidupan Baha bermula sejak beliau di alam perkahwinan lagi kerana beliau tidak bekerja untuk menampung kehidupan keluarganya. Begitu juga dengan keperibadiannya yag kurang keyakinan diri menyebabkan dirinya sentiasa berdepan dengan masalah dan dugaan.
Walaupun kehidupan mereka sentiasa dihujani dengan masalah, Baha akan melakukan apa saja untuk menggembirakan anak kesayangannya itu. Satu demi satu ujian mendatang tetapi Baha tetap tabah mengharunginya walaupun dia sedar dirinya bagaikan tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan masalah yang sedia ada.
Elly (Lisa Surihani), merupakan seorang wanita yang tegas walaupun penampilan luarannya seperti seorang wanita yang lemah lembut. Elly mempunyai konflik dengan bapanya Datuk Kudin (Zaidi Omar). Konflik antara mereka tidak pernah selesai walaupun Datuk Kudin berusaha untuk memulihkannya. Melalui Mia, Baha dan Elly mula rapat namun situasi ini menyebabkan Datuk Kudin mengambil kesempatan untuk memulihkan kembali perhubungannya dengan Elly.
Dalam usaha merapatkan semula hubungan Datuk Kudin dengan Elly, Baha menghadapi pelbagai halangan dan cabaran. Mia juga menjadi sandaran Baha dalam usahanya untuk merealisasikan impian Datuk Kudin. Tindakan Baha sebagai orang tengah akhirnya telah menyebabkan hubungannya dengan Elly sendiri menjadi tegang. Apakah yang menyebabkan Elly berkeras tidak mahu menerima kembali bapanya? Adakah kehadiran Mia dapat membantu melembutkan hati Elly? Jawapannya akan terlerai dalam ‘Papa, I Love you’, pada 29 Disember ini, di pawagam berhampiran anda.
DIBINTANGI OLEH: Zalif Sidek, Lisa Surihani, Mia Sara Nasuha, Zaidi Omar, Syanie, Zul Suphian, Bob Kuman, Kamal Faridz, Adey Syafrien dan Mon Ryanti
RATING: 7/10
GENRE: Komedi, Drama
INFO: Filem yang menelan kos sebanyak RM 1.5juta ini menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada pertengahan Mac tahun lalu.
TARIKH TAYANGAN
29 Disember 2011


