"Raya Tak Jadi" Menjadi
Jika tahun lepas Profesor Madya A. Razak Mohaideen muncul dengan filem 4 Madu, kali ini pengarah tersebut muncul dengan buah tangan terbaru di bulan Syawal berjudul, Raya Tak Jadi. GUA pasti ramai yang tidak sabar menunggu hari penayangan filem ini memandangkan trailer yang disiarkan selama ini sudah cukup untuk membuat penonton ketawa.
Biarpun filem ini ditayangkan pada pertengahan Aidilfitri, namun, difahamkan hari pertama tayangan filem terbitan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd dan Primeworks Studios Sdn Bhd ini saja telah mendapat sambutan yang hebat apabila penonton berpusu-pusu membeli tiket di pawagam.
Sekali lagi, Saiful Apek menjadi ‘favourite’ Prof Razak apabila telah dipilih sebagai teraju utama selepas kemunculannya dalam filem, Sifu dan Tongga, Otai, Duyung, Nana Tanjung dan 4 Madu. Selain Apek, Raya Tak Jadi turut diserikan dengan penampilan Johan Raja Lawak. Ternyata gandingan dua pelawak dari dua generasi yang berbeza ini sangat menjadi apabila lawak spontan dari mereka cukup menghibur serta melucukan.

Cuma GUA agak sedikit kecewa dengan penyampaian jalan cerita filem ini di mana ia nampak agak kelam kabut dan terlalu sarat. GUA faham Prof cuba memasukkan banyak perkara untuk merancakkan lagi filem ini.
Namun GUA rasa sesetengah babak itu tidak perlu diletakkan kerana ia membuatkan filem ini jadi meleret dan hampir mendatangkan kebosanan kepada GUA. Walau bagaimanapun, mujur lawak-lawak dalam filem ini menutupi perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
Filem Raya Tak Jadi bermula dengan seorang ahli perniagaan iaitu Leo yang bakal mengalami kerugian besar kerana kontena berisi kurma-kurma yang ingin dijualnya sebelum raya tidak sampai. Oleh itu, dia telah merancang untuk menunda hari raya dengan menculik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Hj.Ehsan.
Leo telah mengarahkan dua pekerjanya, Ali dan Abu untuk melakukan penculikan tersebut. Mereka berdua telah berjaya menculik Hj.Ehsan namun masalah timbul apabila Ali dan Abu telah tertukar teksi yang ada Hj Ehsan dengan Shuib iaitu seorang pemandu teksi.
Shuib mempunyai seorang adik yang menghidapi penyakit lupa kronik iaitu Bob. Kekecohan berlaku apabila Shuib dan Bob menemui Hj Ehsan yang disangkakan telah mati di dalam boot teksi. Mereka berdua telah melakukan pelbagai cara untuk meninggalkan mayat tersebut namun gagal dan membuat keputusan untuk mengebumikan mayat itu.
Tiba-tiba mayat yang disangkakan telah mati itu hidup semula dan ini telah memeranjatkan semua orang. Hj. Ehsan kemudiannya menerangkan mengenai penculikannya. Sementara itu, Leo telah mengarahkan Ali dan Abu untuk mendapatkan semula Hj. Ehsan dan mereka telah menculik ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob sebagai tebusan.

Kemudian, Leo mengarahkan Shuib meminta wang tebusan daripada isteri Hj Ehsan dan menyerahkan wang tebusan serta Hj Ehsan kepadanya sebelum dia melepaskan ibu dan adik perempuan Shuib dan Bob.
Leo dan dua pekerjanya telah diserbu dan ditangkap oleh polis ketika melakukan urusan penukaran tebusan dengan Shuib dan Bob. Shuib dan Bob berasa sedih kerana mereka terpaksa meraikan hari raya seperti hari raya tahun-tahun yang lepas, dalam serba kekurangan.
Tetapi, Hj Ehsan telah datang menziarahi mereka dan memberikan pelbagai hadiah dan duit yang banyak sebagai ganjaran menolong dia. Selain itu, Hj Ehsan juga menyukai sikap mereka yang baik . Oleh itu dia turut menggajikan Shuib dan Bob untuk bekerja dengannya.
Jangan lupa menonton pelbagai aksi lucu dan menghiburkan dalam Raya Tak Jadi di pawagam berhampiran anda bermula 15 September 2011.


