Sekuel Wall Street Jelas Spekulasi
Bukan satu yang mudah untuk menghasilkan filem sekuel, namun menerusi filem terbaru garapan sutradara Oliver Stone, dia berjaya melunaskan tanggungjawabnya itu (dalam beberapa aspek). Filem “Wall Street : Money Never Sleeps” merungkai peranan spekulasi dalam mencorakkan perubahan pada pasaran saham yang memungkinkan kejatuhan pada sesebuah kuasa ekonomi.
Lanjutan dari filem “Wall Street” yang diterbitkan 23 tahun lalu, filem sekuel itu berkisar mengenai broker muda Jake Moore lakonan Shia LaBeouf yang terperangkap dalam pengaruh dendam setelah kematian mentornya dan kekalutan perhubungan naluri dengan Winnie Gekko lakonan Carey Mulligan. Di tengah pergolakan perasaan itu, Moore harus menyelam perasaan benci teman wanitanya terhadap bapanya sendiri, Gordon Gekko bekas broker terkenal yang baru keluar dari penjara setelah melakukan jenayah kolar putih.
Menerusi filem ini, penonton akan dibebani dengan frasa dunia perniagaan. Sesekali akan terlihat seperti satu khutbah yang panjang. Jika anda bukan daripada kalangan pengamal dunia kewangan, anda pastinya tercari-cari apakah makna sub-prima dan juga frasa semudah kredit. Namun, plot yang dibikin sedemikian rupa memudahkan tontonan peminat filem itu kerana plot yang lebih utama dicerna penonton adalah dunia hitam di sebalik tabir bidang perniagaan yang cukup kuat untuk mendekatkan penonton dengan isu semasa yang pernah berlaku di Amerika Syarikat termasuk kesannya pada negara lain.
Bagi penonton yang cukup teruja dengan filem terdahulu, Wall Street, mereka pasti tidak sabar menunggu apa yang akan terjadi kepada Gordon Gekko dalam filem ini. Setelah Michael Douglas mencipta kejayaan dengan memenangi trofi Oskar kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada tahun 1987, apakah mutu lakonannya masih setanding pada tahun 2010.
Apa yang boleh GUA ungkapkan, sentuhan pelakon veteran seperti Michael Douglas masih berbisa sekaligus menenggelamkan watak Jake Moore yang dibawakan oleh Shia LaBeouf. Wajah keanak-anakan LaBeouf menafikan karisma yang sepatutnya wujud dalam diri seorang broker yang meningkat naik.
Bagi penonton dari generasi yang tidak berpeluang menonton Wall Street, sewajarnya mencari DVD filem itu sebelum menonton filem sekuel ini. Ada beberapa rujukan jenaka yang merujuk kepada filem pemulanya. Anda mungkin ketinggalan ketawa apabila menonton Wall Street : Money Never Sleeps.
Selain Michael Douglas, Shia LaBeouf dan Carey Mulligan, filem itu turut dibintangi Frank Langella, Josh Brolin dan Susan Sarandon dengan kemunculan cameo Charlie Sheen.


