The Amazing Spider-Man Memintal Jaring Baru

2 Jul 2012, 04:02pm   |     |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Kongsi Article Ini:

Trilogi filem Spider-Man lakonan Tobey Maguire, arahan Sam Raimi, mencatat beberapa rekod kutipan box-office, termasuk jumlah kutipan kasar sebanyak US$2.5 billion (RM7.95 billion).

Sekarang muncul pula The Amazing Spider-Man yang nampaknya bakal menyumbang ke arah kutipan yang lebih tinggi.

Kali ini, watak adiwira komik Spider-Man/Peter Parker (lakonan Andrew Garfield) memulakan kembali ceritanya di zaman remaja. Tiada Green Goblin/Norman Osborn, dan tiada Harry Osborn yang dulu dilakonkan James Franco. Juga tiada dalam filem ini, Mary-Jane Watson, digantikan dengan teman wanita Peter yang pertama - Gwen Stacy(Emma Stone).

Spider-Man kali ini menghadapi ancaman The Lizard/Dr Curt Connors (Rhys Ifans) yang mahu menjalankan rancangan jahat untuk seluruh umat manusia.

Namun, lakonan dan watak yang menyerlah Martin Sheen sebagai Uncle Ben yang ternyata berkesan dan menyentuh perasaan. Kali ini, ibu bapa Peter juga mendapat sedikit perhatian, dan keluarga Spider-Man tidak hanya tertumpu ke pada Aunt May (Sally Field).

Malah, tumpuan kepada bapa Peter - Richard Parker - menjadi kunci kepada plot dalam filem ini.

Watak adiwira Spider-Man memang kelihatan dan beraksi seperti Spider-Man, dengan adiwira itu sentiasa berseloroh, seperti dalam komik. Pengarah Marc Webb berjaya menonjolkan Spider-Man bukan seorang yang terlampau berkuasa dan sentiasa menang. Aksi Spider-Man melompat-lompat dan berlawan tidaklah nampak senang baginya. Malah, ada banyak kali Spider-Man terpaksa bertungkus-lumus untuk melarikan diri, walaupun pihak lawan tidaklah sekuat mana.

Keadaan ini menyebabkan Spider-Man senang sekali mendapat simpati. Dia bukanlah seorang dewa tidak terkalah mahupun jaguh terulung, tetapi hanya orang biasa yang ada sedikit kebolehan dan kelebihan, cuba menolong orang dalam kesulitan.

Secara keseluruhan, Garfield mendokong watak Spider-Man dengan lebih telus daripada Tobey Maguire sebelum ini. Ternyata, Tobey pelakon yang hebat dan layak menang semua anugerah yang pernah dan bakal dimenanginya, tetapi persembahan Garfield menunjukkan pemahaman Peter sebagai seorang anak muda, dan juga seorang yang pintar dengan berkesan.

Kalau Tobey sebelum ini memberi tumpuan kepada transisi Peter Parker antara remaja dan dewasa, julat yang diberi tumpuan oleh Garfield pula lebih kecil dan menjadi. Peter Parker kali ini nampak lebih realistik, dan bukan hanya disebabkan Spider-Man menggunakan pelancar jaringan elektronik dan tidak lagi daripada liang organik.

The Amazing Spider-Man nampaknya akan memuaskan hati ramai peminat komik, pengunjung pawagam dan sesiapa sahaja yang tertarik dengan filem yang bagus kualitinya.

The Amazing Spider-Man bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara 5 Julai ini.

 






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad