Trespass Membosankan

28 Oct 2011, 12:00am   |   Miss Ayu  |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Trespass Membosankan
Kongsi Article Ini:

Filem arahan Joel Schumacker ini telah pun berada di pawagam bermula minggu lalu. Walaupun mempertaruhkan dua nama besar, Nicolas Cage dan Nicole Kidman, tetapi Trespass agak menghampakan kerana jalan ceritanya terlalu klise dan penonton sudah boleh menjangka kesudahannya.

Menonton filem ini membuatkan GUA tertanya-tanya mengapa Nicole dan Nicolas bersetuju untuk menjayakan filem yang hanya meraih kutipan kurang USD 20 ribu selepas dua minggu ditayangkan. Malah, beberapa portal ulasan filem dari luar negara tidak mencadangkan filem ini untuk ditonton.

Setengah jam pertama menyaksikan filem ini tidak menjadi masalah kerana penonton diperkenalkan dengan setiap watak. Namun, masuk ke minit-minit berikutnya perasaan bosan mula terasa kerana terlalu banyak adegan ‘tarik tali’ di antara penjenayah dan Kyle. Memang penonton dibawa mengimbas ke beberapa adegan yang berlaku sebelum pencerobohan itu, tetapi ia tidak cukup untuk meleraikan rasa bosan. Bahkan, ada adegan yang dirasakan tidak relevan dan mengundang tawa.

Walau apa pun, GUA boleh nampak mesej yang hendak disampaikan. Selain cuba menunjukkan nilai kasih-sayang di antara suami, isteri dan anak, penulis skrip ini juga cuba memberi pesanan bahawa segala kemewahan harta benda dan wang ringgit tidak menjanjikan kebahagiaan.

Kalau anda sudah  terlalu rindu dengan penampilan Nicole Kidman dan Nicolas Cage di layar perak, Trespass boleh dijadikan pilihan di hujung minggu.  Kalau tidak, lebih baik tonton filem pecah panggung yang lain seperti Real Steel, Paranormal Activity 3 dan In Time.

Trespass mengisahkan bagaimana seorang lelaki Kyle Miller cuba menyelamatkan keluarganya apabila banglo mewah miliknya dicerobohi sekumpulan perompak yang mahukan batu-batu berlian yang dipercayai disimpan di dalam peti besi milik Kyle.

Keengganan Kyle membuka peti besi telah menggundang huru-hara apabila perompak-perompak berkenaan semakin hilang kawalan. Dalam masa yang sama, Kyle juga diuji apabila kesetiaan isterinya, Sarah mula dipertikaikan apabila salah seorang perompak mendakwa Sarah berlaku curang dengan adiknya.

Setelah didesak dengan pelbagai cara, Kyle akhirnya membuka peti besi tersebut, namun berlian yang dimaksudkan tidak tersimpan di situ. Rupa-rupanya Kyle sedang mengalami krisis kewangan yang kritikal. Dia sudah tidak punya wang atau harta benda yang lain. Berlian yang disangkakan miliknya itu hanyalah tertulis di atas kertas.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad