X-Janda-Jandaku Gangster Filem Komedi Segar

13 Jun 2012, 12:00am   |     |    Utama > HIBURAN > ULASAN >
Kongsi Article Ini:

Syarikat produksi yang tidak pernah putus-putus mewarnai layar perak, Metrowealth Pictures (MIG) kini muncul dengan sebuah lagi filem komedi berjudul, ‘X-Janda-Jandaku Gangster’. Filem ke-60 ini merupakan filem pertama arahan Ahmad Rusli Khadri, salah seorang pengarah di bawah Skim 10 Pengarah Muda MIG.

Walaupun ini filem pertama arahannya, namun Rusli berjaya menghasilkan sebuah karya komedi yang cukup segar sehingga hampir 60% daripada permulaan cerita ini berjaya membuatkan penonton tidak kering gusi dengan babak-babak yang lucu serta spontan.

Mengetengahkan elemen komik komedi, kelainan yang dibawa Rusli ini ternyata satu percubaan yang berani bagi seorang pengarah baru. Kehadiran ‘janda-janda’ dalam filem ini juga berjaya menghidupkan suasana komedi dengan cara mereka yang tersendiri. Walaupun rata-rata adalah muka baru, namun mereka berjaya menghayati watak yang diberi dengan baik sekali.

Pendek kata, filem ‘X-Janda-Jandaku Gangster’ ini wajib ditonton oleh seisi keluarga dan GUA gerenti tiket yang dibeli anda akan berbaloi. Jadi, apa tunggu lagi, isilah musim persekolahan ini dengan menonton filem ‘X-Janda-Jandaku Gangster’ di pawagam berhampiran anda.

Sinopsis :

Hafiz merupakan seorang lelaki yang percayakan cinta, tetapi dia malang dalam setiap percintaannya. Di awal zaman remajanya dulu, dia telah ditangkap basah sehingga menyebabkan dia dipaksa berkahwin dengan seorang perempuan yang berperwatakan tomboy. Sungguhpun tiada rasa cinta, persamaan yang ada pada mereka menjadikan hidup Hafiz gembira.

Malangnya, selepas ibu Hafiz nampak bagaimana Hafiz dan ’isterinya’ sama-sama mengurat wanita lain, ’hubungan’ mereka itu akhirnya menjadi masalah. Hafiz melepaskan isteri pertamanya, dan menyerahkan tugas mencari isteri kedua, kepada ibu bapanya. Ibu bapa Hafiz mencari pula seorang calon isteri yang taat dan patuh.

Pada peringkat permulaannya, Hafiz memang suka sekali mendapat isteri yang suka melayannya, tetapi lama-kelamaan, dia rimas sekali dengan sikap isterinya yang semakin hari, semakin robotik tanpa sebarang perasaan. Jodoh mereka berakhir juga.

Calon isteri ketiga Hafiz merupakan seorang wanita kaya dan sombong bernama Sophie. Mereka berkenalan kerana minat yang sama dalam bidang permotoran, tetapi, selepas Sophie mendapat tahu tentang rahsia Hafiz yang pernah berkahwin lain, ditambah pula dengan sikap Hafiz yang suka mengikis wangnya, hubungan itu diputuskan pula oleh Sophie.

Hafiz menemui isteri keempat di kawasan litar yang sama. Wanda seorang gadis litar yang seksi, dan suka berterus terang tentang statusnya yang merupakan seorang janda. Hafiz tidak kisah akan status itu, tetapi apa yang mengejutkannya ialah perangai Wanda yang amat pengotor dan selekeh, berlainan sekali dengan imej seksi dan bersih Wanda di luar.

Hafiz bertambah terkejut lagi apabila mengetahui Wanda mempunyai 6 orang anak daripada 3 bekas suami dari bangsa, negara dan keturunan yang berbeza. Hafiz tak tahan dan terus angkat kaki. Hafiz berkenalan pula dengan Ziana di dalam satu kemalangan jalanraya. Ziana seorang kerani akaun yang amat prihatin terhadap nasib binatang.

Melihat betapa prihatin Ziana menjaga binatang peliharaan ini, Hafiz pasti bahawa Ziana mampu menjadi isterinya yang mithali. Namun selepas perkahwinan, masalah berlaku lagi. Ziana memang pandai menjaga, tetapi Hafiz tertekan dengan sikap mengongkong dan queen controlnya. Dalam diam, Hafiz berkenalan dengan Arisa, seorang model sambilan.

Kali ini, Hafiz percaya dia sudah menemui cinta sejati buat kali terakhirnya. Setahun berlalu semenjak Hafiz menjatuhkan talak ke atas Ziana, Hafiz pun memberanikan diri untuk melamar Arisa. Namun, Sophie yang berada semasa Hafiz melamar Arrisa enggan berputus asa. Dia mengumpulkan semua bekas isteri Hafiz untuk membalas perbuatan Hafiz itu.

Arisa terkejut selepas mendapat tahu sejarah hidup Hafiz bersama-sama bekas isterinya. Dia enggan menerima Hafiz lagi, dan bersetuju untuk meneruskan perkahwinan dengan lelaki pilihan keluarganya. Akibatnya, Hafiz jatuh ke gaung depresi. Bekas-bekas isterinya mula berbelah bahagi. Ada yang mahu membantu Hafiz mendapatkan Arisa sebagai isteri terbaru. Ada pula yang mahu memastikan Arisa tidak terus menjadi mangsa terbaru Hafiz. Siapakah yang berjaya? Siapakah yang layak mencintai siapa? Semuanya bakal terjawab dalam komedi romantik yang penuh bermesej ini.

Rating : 3.5/5

Dibintangi oleh : Pierre Andre, Intan Ladyana, Diana Amir, Liana Rafiai, Nuremy Ramli, Chloe Nicole, Siti Chubby dan ramai lagi.

Genre : Komedi

Tarikh Tayangan : 7 Jun 2012

Info : Filem yang menjalani penggambaran empat minggu sebelum dan sewaktu Ramadhan ini dilakukan di lokasi sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad