Puas Menikmati Belanga Ajaib Chef Sudin

11 Aug 2012, 12:00am   |     |    Utama > JALAN >
Kongsi Article Ini:

Sabtu dan Ahad ini merupakan hujung minggu terakhir yang boleh kita luangkan masa untuk berbuka atau beriftar dengan rakan-rakan dan kenalan. Ini kerana pada Ahad hadapan kita sudah berhari raya dan ramai yang sudah pulang ke kampung seawal hari Khamis.

Agak-agaknya, ke mana lokasi berbuka puasa anda pada hujung minggu ini? Sebelum ini GUA sudah cadangkan anda ke Restoran Rebung, Bangsar. Kali ini apa kata anda menjenguk ‘Belanga Ajaib Chef Sudin’ pula. Bufet Ramadhan yang disediakan oleh Saffron Brasserie, Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur ini menyediakan lebih 100 juadah berbuka puasa menyelerakan. Disediakan oleh Junior Sous Chef Sudin Ahmad dan pasukannya, hidangan di sini pasti tidak menghampakan.

Antara masakan yang dihidangkan kepada tetamu ialah Ayam Panggung Madu, Daging Goreng Selasih, Ketam Lemak Nenas, Sotong Masak Pedas, Gulai Daging Nangka Muda, Sambal Tumis Udang, Kari Kepala Ikan dan tidak ketinggalan Kambing Panggang yang boleh dinikmati bersama beberapa jenis nasi iaitu nasi putih, nasi kuning, Nasi Briyani dan Nasi Kerabu.

Tapi sebelum itu, GUA hendak cadangkan supaya anda mulakan ‘marathon’ makan anda dengan hidangan sup yang lazat. Terdapat Sup Ayam Berempah, Sup Daging, Sup Cendawan, Sup Minestrone dan Sup Ekor yang boleh dijadikan pilihan. GUA paling suka dengan Sup Ekor kerana ia dimasak dengan secukup perisa. Paling penting, dagingnya cukup empuk sehingga mudah ditanggalkan daripada tulang. Jadi, tak perlulah susah-susah mengigit atau menggunakan tangan ketika menikmati sup ini.

Buat anda yang meminati kuih-muih tradisonal, buffet Ramadhan ini juga menyediakan menu ini. Istimewanya, kuih-muih ini diletakkan di dalam bakul berpusing yang membentuk kincir air mini ala Eye On Malaysia dahulu. Seronok  juga  ‘main’ pusing-pusing bakul mencari kuih yang berkenan di hati.  Lebih menggembirakan apabila kuih yang diambil menepati selera!

Jika perut masih boleh diisi, sebelum pulang silalah menjenguk ke kaunter pencuci mulut. Basahkan tekak atau manjakan lidah anda dengan pelbagi hidangan pencuci mulut. Antara yang menarik perhatian GUA ialah Sago Gula Melaka, Cendul, ABC dan Puding Roti. Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis manisan dan kek yang dihias cantik. Kalau gagal mengawal nafsu, memang anda akan terlebih makan. Jadi, buat pilihan secara bijak!

Bufet Ramadhan ‘Belanga Ajaib Chef Sudin’ ini boleh dinikmati sehingga 16 Ogos ini di Saffron Brasserie, Ancasa Hotel & Spa Kuala Lumpur bermula jam 6.30 petang sehingga 10.00 malam. Caj untuk dewasa ialah RM70 bersih dan kanak-kanak berharga RM45 bersih. 
Untuk tempahan, anda boleh menghubungi talian 03 – 2026 6060.

Google Ads





Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad