Resipi Raya GUA - Kek Mini Choc Volcano
Sebagai persiapan untuk Hari Raya yang akan datang, apa kata GUA kongsikan bersama anda satu resipi kek coklat. Bolehlah anda sajikan pada tetamu nanti. Resipi ini diberi nama Kek Mini Choc Volcano.
Ramuan:
50g tepung serbaguna (tepung gandum), diayak
55g gula icing, diayak
90g serbuk badam ('ground almond')
2 biji putih telur
100g mentega, dicairkan
160g coklat gelap (coklat masakan), dicairkan
8 kiub coklat gelap (coklat masakan)
Cara-cara:
1. Panaskan ketuhar sehingga 150°C
2. Campurkan tepung, gula, serbuk badam, putih telur, cairan mentega dan coklat didalam mangkuk dan gaul rata.
3. Sapukan mentega di sekeliling acuan kecil untuk membakar.
4. Tuangkan campuran ke dalam 4 acuan sehingga setengah tinggi.
5. Letakkan 2 kiub coklat di setiap acuan dan tuangkan baki campuran ke dalam setiap acuan sehingga penuh.
6. Bakar selama 30 - 40 minit (kadar berlainan mengikut ketuhar) atau sehingga masak dan lembut di dalamnya.
7. Keluarkan dari ketuhar dan biarkan selama 5 minit sebelum dihidangkan.
8. Potongkan kek dan lihat bahagian tengahnya yang lembut dan terdapat cairan coklat daripada kiub tadi.
Dah baca resipinya? Agak mudahkan? GUA sarankan anda siapkan campuran kek ini, letakkan di dalam bekas kedap udara dan simpan di dalam peti sejuk. Keluarkan dan bakar bila tetamu datang. Jimat masa dan tenaga. Selamat mencuba!
Jangan lupa tinggalkan komen anda di sini jika masakan anda berjaya.


