Tune Hotel Pasar Baru Janjikan Tidur Lena

16 Sep 2012, 12:47pm   |     |    Utama > JALAN >
Kongsi Article Ini:

Jakarta merupakan destinasi percutian beli-belah yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia selain dari Bandung. GUA percaya setiap kali berpeluang ke sana, anda pasti tidak mahu lepaskan peluang berbelanja besar. Maklumlah barangan di sana lebih murah berbanding di sini.

           

           

Dek kerana itu, ramai yang sanggup bermalam di hotel bajet semata-mata ingin jimatkan wang. Walaupun kadangkala hotel yang dipilih itu kurang selesa atau lokasinya tidak strategik. Sudah sampai masanya anda lebih 'demanding' tentang hotel penginapan. Ingat! Tidur yang lena sangat penting untuk rehat secukupnya. Lagipun, takkan tak mahu manja-manjakan diri ketika sedang bercuti?

           

           

Untuk memenuhi kemahuan anda itu, apa kata pilih Tune Hotel, Pasar Baru sebagai lokasi penginapan anda. GUA percaya anda pasti sukakan lokasinya yang sangat strategik. Kawasan beli-belah Pasar Baru hanya kira-kira lima minit dari hotel. Tak perlu naik kenderaan, cuma perlu berjalan kaki. Pasar Pagi Mangga Dua juga tidak jauh. Tambang teksi sekitar IDR 20,000 sahaja.

           

           

Jadi, apa lagi keistimewaan Tune Hotel Pasar Baru? Baiklah, hotel yang terkenal dengan harga menjimatkan ini menyediakan 168 buah bilik yang selesa. Paling penting, tempat tidurnya setanding hotel bertaraf lima bintang. Tilam dan bantalnya cukup empuk. Seronok dapat merebahkan diri setelah seharian menghabiskan masa di tengah kota. Ruangan bilik juga sangat bersih walaupun keluasannya agak terhad.

            

            

Selain itu, anda juga mampu tersenyum apabila dapat menikmati mandian yang menyegarkan. Tiada masalah dengan aliran air yang perlahan kerana Tune Hotel menawarkan pancuran air berkuasa tinggi dilengkapi dengan sistem pemanas. Cuma anda perlu membawa sendiri sabun, syampu dan ubat gigi kerana kemudahan ini tidak tersedia. Ataupun, anda boleh membelinya daripada pihak hotel ketika mendaftar masuk.

            

GUA juga ingin mengingatkan bahawa anda juga perlu membayar untuk tuala, menonton televisyen dan juga penghawa dingin. Tetapi jangan risau, caj yang dikenakan adalah minimum. Ia boleh dibeli secara pakej atau secara berasingan. Terdapat dua pakej yang ditawarkan iaitu Pakej Cozy yang berharga IDR 99,000 dan Pakej Comfort berharga IDR 66,000.

            

Pakej Cozy membolehkan anda menikmati pendingin hawa sehingga 12 jam, siaran TV dan Wifi sepanjang hari, tuala dan kelengkapan bilik air (syampu dan sabun).  Manakala Pakej Comfort menawarkan pendingin hawa selama 12 jam, tuala dan kelengkapan bilik air (syampu dan sabun).

            

Bagaimana pula dengan kemudahan menjamu selera? Tidak perlu risau. Ini kerana di lobi Tune Hotel Pasar Baru terdapat Kopitiam Oey yang menyediakan menu-menu ringkas untuk sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Jangan lupa mencuba pelbagai jenis roti bakar di sini. Rasanya cukup enak. Begitu juga dengan hidangan kopinya.

            

Tune Hotel Pasar Baru telah dilancarkan secara rasmi pada 3 September lalu. Acara yang dirasmikan oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Tune Hotel, Mark Lankester itu turut dihadiri oleh selebriti terkenal Nicholas Saputra.






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad