Wajah Asli Pulau Mabul & Pulau Maiga

30 Jun 2012, 12:00am   |     |    Utama > JALAN >
Kongsi Article Ini:

Foto : Wajah generasi masa depan di Pulau Mabul

Saat paling indah dalam hidup apabila dapat merakamkan wajah kehidupan yang luar dari kebiasaan yang pernah penulis lalui setiap hari. Kebiasaan yang dimaksudkan boleh saja divisualkan pada imej yang sering penulis lihat di kota raya secara zahir.

Dalam kita tidak sedar, rupanya masih ada wajah yang sering kita abaikan tetapi mampu mencerahkan hati setelah kita berhadapan sendiri dengan situasi tersebut.

Baru-baru ini penulis telah dijemput untuk bercuti ke Semporna, Sabah bersama tenaga produksi program eksklusif Sabah Boleh Bah Kalau Kau yang akan disiarkan secara eksklusif di Tonton.

Model kanak-kanak Pulau Maiga

Semporna bukan satu nama yang asing kerana sebagai seorang penyelam skuba tegar, pastinya akan singgah di bandar tersebut untuk menaiki bot laju ke Pulau Mabul untuk menyelam di Pulau Sipadan.

Kali ini persinggahan saya bukan sekadar sebagai seorang penyelam, malah turut merakamkan kehidupan jurufoto profesional yang bukan sahaja aktif merakamkan wajah kehidupan di permukaan darat juga di dasar laut.

Merakam wajah-wajah Pulau Mabul dan Pulau Maiga merupakan satu perkara yang menginsafkan. Selain mengenali dunia yang jarang sekali kita ambil tahu, sebenarnya dari raut wajah yang terukir tersimpan satu perasaan yang sukar untuk digambarkan.

Muslianshah Masrie gigih merakamkan wajah-wajah Pulau Maiga

Merakam potret wajah-wajah Mabul menyerlahkan fizikal dan kehidupan sekitar pulau tersebut. Suatu yang jarang kita lihat adalah ekspresi wajah orang pulau yang kosong dengan rambut mereka yang hitam kemerahan. Paling ketara adalah warna kulit dan rambut mereka.

Untuk pengetahuan, Pulau Mabul seakan terbahagi dua dengan menjadikan resort mewah dan homestay sebagai panduan. Di bahagian berdekatan penginapan homestay kebanyakannya dihuni oleh suku kaum Solok yang berdarah Filipina.

Manakala di sekitar kawasan resort mewah dihuni oleh kaum Bajau Laut yang kebanyakan daripada mereka tinggal di atas laut. Komunikasi dengan mereka bukan satu masalah utama.

Perjalanan ke Pulau Maiga pula mengambil masa 1 jam 15 minit dari Semporna.

Orang tua bertukang sampan di Pulau Maiga

Jelas Amri Ginang, salah seorang jurufoto potret profesional yang turut bersama kami, wajah tidak komersial yang dimiliki oleh orang pulau menarik minatnya untuk merakamkan keunikan penghuni pulau tersebut.

“Raut wajah mereka unik. Saya sukakan muka mereka. Saya lebih suka merakamkan foto yang bercerita dan ia satu kerja yang memerlukan daya pujuk yang terbaik bagi mendapatkan ekspresi muka yang asli.” tambahnya lagi.

Lebih gemar memilih untuk merakamkan foto potret, Amri berkata itulah tarikan dan keseronokan utama tugas tersebut.

Landskap Pulau Maiga

“Saya perlu mendekati mereka dan meyakinkan mereka agar memberikan kebenaran untuk wajah mereka dirakamkan. Bukan sesuatu yang mudah kerana di sesetengah lokasi, orang pulau takut apabila melihat orang asing mengunjungi tempat tinggal mereka. Ada di antara mereka yang mengharapkan upah hasil kerja mereka sebagai model.” ceritanya lagi mengenai pengalaman tersebut.

Matahari terbenam di Pulau Mabul

Selain raut wajah, Mabul juga dikenali dengan landskap yang menarik. Keindahan pulau tersebut masih terjaga rapi. Kebiruan pantai sering menjadi buruan. Begitu juga lokasi terbit dan terbenamnya matahari.

Kehandalan jurufoto landskap, Muslianshah Masrie memburu sudut-sudut terbaik bagi merakamkan fotonya sangat mengagumkan. Saya sendiri merasa begitu kerdil apabila dibandingkan kepantasan mata mencari sudut terbaik.

"Sebenarnya banyak pulau-pulau menarik di Sabah ini yang tidak begitu dipopularkan. Sebagai jurufoto menjadi tanggungjawab saya untuk meneroka keindahan pulau-pulau ini dan menjadikannya karya seni yang boleh ditonton oleh orang ramai. Secara tidak langsung, ia akan menarik minat mereka untuk datang ke sini dan merakamkannya sendiri."

Landskap Pulau Maiga

Berjalan di sekitar pulau tersebut tidaklah memenatkan kerana ada saja landskap indah yang perlu dirakamkan oleh kamera pengunjung. Jika bernasib baik, berjalan di sekitar kampung, kita akan dapat merakamkan aktiviti haram memburu ikan yu.

Sebagai seorang penyelam, melihat aktiviti haram itu berlaku di depan mata memang memilukan tapi itulah hakikatnya. Penjualan sirip ikan yu masih berleluasa kesan wujudnya permintaan terhadapnya.

Penulis bersama tenaga produksi program Sabah Boleh Bah Kalau Kau yang disiarkan secara eksklusif di Tonton turut berpeluang untuk menyelam Pulau Mabul, bertemu kaum Bajau Laut di Pulau Bodgaya dan mendaki bukit di Pulau Bohey Dulang.

Nantikan artikel seterusnya pengembaraan jurufoto profesional ke Pulau Bodgaya dan Pulau Bohey Dulang.

Anda juga boleh menyertai Pertandingan Fotografi Sabah Bah di www.tv3.com.my/sabah.

Kredit Foto : @sultanmuzaffar






Cari



JOM JOIN!

Iklan | Tentang Kami | Hubungi Kami
© Gua.com.my 2012 - Hak cipta terpelihara
Sebahagian daripada Alt Media Sdn Berhad